31.05.2019
PESANAN PENGANALISIS
Pemegang Saham MAA Group Berhad telah bersuara - AGM/EGM
Hari Rabu tanggal 29hb Mei 2019 adalah hari yang mana para pemegang saham bakal memutuskan sama ada untuk menerima tawaran Pelaksanaan Pembayaran Balik dan Pengurangan Modal Terpilih (SCR) oleh Melewar Acquisitions Limited (MAL) dan Melewar Equities (BVI) Ltd (MEL). Pengarah berkepentingan terdiri daripada Tunku Dato’ Yaacob Khyra (Pengerusi Eksekutif) dan Tunku Yahaya@Yahya bin Tunku Tan Sri Abdullah (Pengarah Eksekutif).
Mesyuarat diadakan di bilik mesyuarat Tingkat 4 Kompleks Mutiara, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Pemegang saham sudah mula tiba seawal jam 9 pagi untuk menghadiri AGM dan EGM yang bermula pada jam 10.30 pagi dan 11.30 pagi.
Pada jam 10 pagi, saya melihat ramai pemegang saham berkumpul di hadapan bilik mesyuarat. Proses pendaftaran berjalan dengan lancar. Syarikat menyediakan tempat duduk dan menghidangkan teh serta kopi untuk para pemegang saham. Walaubagaimanapun, sarapan tidak disediakan kerana Syarikat menyediakan baucer makanan.
Kebanyakan pemegang saham lebih berminat dengan EGM dan mereka dilihat membincangkan merit menerima tawaran itu. Segelintir daripada mereka bertegas yang ia tidak adil dan tidak sepatutnya dipertimbangkan sama sekali. Seorang pemegang saham dalam perbincangan kumpulan bertanya “Mengapa tidak mencadangkan kepada Lembaga supaya menangguhkan mesyuarat, supaya pembuat tawaran dapat mempertimbangkan suatu tawaran yang lebih baik?”
Seorang lagi mencadangkan supaya tawaran ini dinaikkan daripada RM1.10 kepada RM1.30, yang sudah cukup memuaskan hati pemegang saham untuk menerima tawaran tersebut. Masa berlalu tanpa disedari, kini jam menunjukkan pukul 10.25 pagi. Semua pemegang saham diminta masuk ke bilik mesyuarat supaya AGM dapat dimulakan.
Pengerusi, Tunku Dato’ Yaacob memulakan mesyuarat. Oleh kerana notis dan semua formaliti sudah teratur, beliau terus membentangkan Penyata Kewangan yang Diaudit untuk perbincangan, jika ada.
Beliau kemudiannya memaklumkan bahawa Syarikat akan menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh MSWG sebelum membenarkan para hadirin bertanyakan soalan. Tumpuan utama semestinya diberikan kepada Rancangan Penyusunan Semula bagi menangani situasi kedudukan Syarikat sebagai Syarikat PN17 sejak 2011. Pengerusi dan beberapa ahli Lembaga Pengarah berkongsi pandangan, menyatakan yang mereka sudah pun menilai beberapa perniagaan tertentu tetapi tidak dapat bersetuju dengan harga, risiko dan terma pelaburan yang disasarkan. Sesetengah prospek pelaburan yang dicadangkan pula terpaksa ditolak kerana gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bursa.
Penjelasan dan justifikasi yang diberikan oleh Lembaga gagal meyakinkan sebahagian besar pemegang saham. Mereka juga bingung dengan hala tuju strategik dan fokus Kumpulan. Memandangkan kepakaran utama Kumpulan adalah dalam industri insurans dan perkhidmatan kewangan, timbul keraguan dalam kalangan pemegang saham apabila Pengerusi menyebut “Minyak dan Gas, Perladangan, dan lain-lain.” Adakah Lembaga Pengarah dan Syarikat mempunyai kepakaran atau bersedia untuk menceburi bidang-bidang ini?
Segelintir pemegang saham turut mempersoalkan keputusan Pengarah Tidak Berkepentingan untuk mempertimbangkan SCR ini di peringkat Lembaga Pengarah serta menjadualkan EGM untuk mendapatkan pertimbangan daripada Pemegang Saham Tidak Berkepentingan.
Sebahagian besar daripada mereka berpendapat “tawaran ini tidak adil” dan jargon teknikal yang digunakan oleh penasihat, bank pelaburan dan penasihat bebas (IA) mengenai “adil dan munasabah atau tidak adil dan munasabah” langsung tiada makna kepada mereka kerana harga tawaran adalah jauh lebih rendah berbanding nilai aset bersih! Situasi ini diburukkan lagi berikutan soalan yang ditimbulkan dan dijawab oleh Pengerusi Audit iaitu tunai sesaham bernilai RM1.31. Melihat senario ini, ada hadirin yang mencadangkan supaya “Syarikat dibubarkan dan kesemua wang tunai dikembalikan kepada para pemegang saham.”. Cadangan ini mendapat sokongan ramai kerana ia lebih baik berbanding SCR dan lebih adil kepada semua pemegang saham.
Sentimen tidak berpihak kepada cadangan oleh Pengarah Tidak Berkepentingan untuk mengundi menyokong SCR malah ada yang mempersoalkan peranan mereka yang sepatutnya melindungi kepentingan pemegang saham minoriti. Pemegang saham pada amnya juga tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pengarah Tidak Berkepentingan.
Walau bagaimanapun, untuk bersikap adil kepada Pengarah Tidak Berkepentingan, mereka telah meminta pandangan dan maklum balas secara bertulis daripada Pemegang Saham yang Tidak Layak pada 26 Mac 2019 berkenaan harga tawaran. Pemegang Saham yang Tidak Layak tidak berganjak daripada keputusan mereka untuk tidak mengubah harga tawaran.
Cadangan supaya EGM dibatalkan atau ditangguhkan semakin kuat dan jelas sewaktu ia berlangsung. Walau bagaimanapun, Pengerusi EGM, Encik Onn Kien Hoe menjelaskan bahawa semua Pemegang Saham Tidak Berkepentingan telah diberi peluang untuk membuat keputusan tentang pelaksanaan SCR, malah beliau sebagai Pengerusi telah dilantik oleh beberapa proksi untuk mengundi yang memihak kepada SCR. Penasihat utama dan IA juga turut hadir untuk menjawab sebarang pertanyaan oleh pemegang saham tentang SCR.
Perasaan tidak puas hati para pemegang saham jelas ditunjukkan dalam AGM apabila mereka menolak “Cadangan Memperbaharui Mandat Pemegang Saham untuk Transaksi Pihak Berkaitan yang Berulang” - Resolusi 7.
SCR ini juga telah ditolak dalam EGM.
Mesyuarat berakhir dengan pemegang saham yang masih ragu dan tidak pasti sama ada Lembaga dapat menyelesaikan kedudukan Kumpulan dalam PN17 atau lebih teruk lagi, sama ada PLC akan digantung dan dinyah senarai.
Sementara itu, Kumpulan meneruskan operasi perniagaannya seperti biasa sehingga kita bertemu lagi pada AGM tahun 2020.
Pemegang saham berasa lega kerana SCR tidak dilaksanakan. Walau bagaimanapun, mereka tertanya-tanya sama ada Lembaga Pengarah dapat menyelesaikan segala permasalahan yang ada.
Oleh: Quah Ban Aik
PASUKAN MSWG
Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]
Siva Yamini, Ketua, Khidmat Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pemangku Ketua, Penyelidikan & Pembangunan, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Elaine Choo Yi Ling, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lim Cian Yai, Penganalisis Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]
Nor Khalidah Mohd Khalil, Penganalisis, Pemantauan Korporat, [email protected]
PENZAHIRAN KEPENTINGAN
• Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini.
Maklumbalas
Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].
PENOLAKAN TUNTUTAN
Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).
Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.
MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.
MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.