MSWG Weekly Newsletter 22 March 2019 (BM)

Friday, 22 March, 2019

22.03.2019

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

London Biscuits Berhad – Menyukarkan Pemegang Saham dan Situasi Terdesak Kumpulan; Pemegang Saham Minoriti Perlu Berjaga-jaga

Menyukarkan Pemegang Saham

London Biscuits Berhad (“Syarikat”) telah memanggil satu AGM pada 29 Mac, hari Jumaat jam 8 pagi di Ulu Tiram, Johor Darul Takzim. Satu EGM pula dijadualkan pada hari berikutnya, hari Sabtu, juga bermula jam 8 pagi.

Senario di atas menimbulkan pelbagai isu yang menyusahkan para pemegang saham minoriti dan tidak kondusif bagi membolehkan mereka menghadiri kedua-dua mesyuarat.

  1. Mengapa AGM dimulakan pada jam 8 pagi? Adakah tidak terlalu awal bagi membolehkan para pemegang saham menghadiri mesyuarat, terutama mereka yang datang dari luar daerah? Mereka perlu tiba pada hari sebelumnya dan bermalam di sana semata-mata untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan yang bermula jam 8 pagi.
  2. Mengapa Syarikat tidak mengadakan EGM pada hari yang sama sebaik sahaja selepas AGM atau pada sebelah petang dan bukan pada hari berikutnya? Ini bermakna pemegang saham perlu bermalam di sana semata-mata untuk menghadiri EGM serta menanggung perbelanjaan penginapan untuk dua malam.
  3. Kami tidak pasti jika pengangkutan awam disediakan dari tempat penginapan ke lokasi mesyuarat agung yang dijadualkan di Ulu Tiram. Sekiranya tidak ada, ia mungkin menyukarkan lagi para pemegang saham.

Melihat kesukaran ini, ramai pemegang saham minoriti mungkin memilih untuk tidak menghadiri mesyuarat disebabkan kesulitan yang dihadapi. Situasi ini bertentangan dengan tadbir urus korporat yang baik yang menggalakkan penyertaan pemegang saham dalam mesyuarat agung.

 

Situasi Terdesak

Juruaudit luar memberikan pendapat bersyarat untuk penyata kewangan bagi tahun berakhir 30 September 2018 yang menggariskan perkara berikut:

  • Disebabkan kelewatan pelantikan juruaudit luar yang baru, mereka tidak dapat menyaksikan pengiraan inventori fizikal pada akhir tahun kewangan 30 September 2018. Mengapa juruaudit luar baru dilantik terlalu lewat iaitu pada 20 Disember 2018?
  • Sesetengah baki awal mengandungi salah nyata yang memberi kesan besar terhadap penyata kewangan semasa. Adakah kawalan tidak mencukupi dalam proses pelaporan kewangan syarikat?
  • Juruaudit menjumpai transaksi penting dan material antara kumpulan dan pelanggan yang diselaraskan dan diiktiraf sebagai urus niaga pihak berkaitan (“RPT”) bagi mencerminkan pengaturan operasi. Adakah Jawatankuasa Audit (“AC”) tidak perasan perkara ini? Tanggungjawab utama AC termasuk antara lain mengkaji semula transaksi pihak berkaitan dan situasi yang menimbulkan konflik kepentingan. 
  • Juruaudit tidak dapat memastikan ketepatan data pengusiaan penghutang perdagangan. Para pemegang saham tidak dapat memastikan sama ada peruntukan rosot nilai yang sewajarnya sudah diambilkira atau jika ia memerlukan peruntukan tambahan.
  • Juruaudit tidak dapat mengesahkan perolehan Loji dan Jentera berjumlah RM52.467 juta yang dibuat pada tahun kewangan berakhir 30 September 2018 disebabkan ketiadaan bukti audit. Juruaudit juga tidak dapat menentukan sama ada pelarasan diperlukan untuk menyatakan semula nilai Loji dan Jentera. Mengapa perkara ini terjadi?

Selain itu, kami juga mendapati perkara berikut:

  1. Pendapatan Kumpulan mengalami trend menurun sepanjang tiga tahun yang lalu. (2018: RM308.7 juta, 2017: RM426.0 juta, 2016: RM436.5 juta).
  2. Kumpulan membuat peruntukan rosot nilai berjumlah RM59.2 juta ke atas sesetengah Penghutang Dagangan.
  3. Aliran tunai bersih Kumpulan daripada Aktiviti Operasi adalah negatif sepanjang dua tahun yang lalu. (2018: -RM12.5 juta, 2017: -RM109.3 juta)
  4. Kos fungsi audit dalaman dalam Syarikat (“IA”) untuk tahun kewangan berakhir 2018 hanya RM13,825, iaitu kira-kira RM1,000++ sebulan.

Bolehkah Jawatankuasa Audit (AC) memberi justifikasi terhadap angka ini yang amat rendah dan tidak selaras dengan saiz operasi Kumpulan? Begitu juga prestasi Syarikat yang semakin merosot dalam beberapa tahun kebelakangan ini? AC mungkin perlu menilai semula skop audit dalaman, tahap komposisi serta kecekapan pasukan audit dalaman Syarikat serta maklum dengan keperluan untuk memperkuatkan fungsi audit dalaman. 

Perkara di atas adalah antara isu yang akan kami ketengahkan dalam mesyuarat Syarikat.

Pemegang saham minoriti diminta supaya mengambil maklum hal-hal tersebut dan menjalankan ketekunan wajar apabila mereka membuat keputusan pelaburan.

Salam,

Devanesan

22 Mac 2019

 


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

EKOVEST BERHAD (“EKOVEST” atau “Syarikat”)

Menurut pengumuman, pada 12 Mac 2019 Ekovest menandatangani perjanjian pembelian saham bersyarat dengan Serumpun Abadi Sdn Bhd (SASB) untuk cadangan pengambilalihan oleh Ekovest  sebanyak 23.42% kepentingan ekuiti dalam PLS dari SASB dengan pertimbangan tunai berjumlah RM76.50 juta atau RM1.00 sesaham dalam PLS (“Cadangan Perolehan”).

Sumber:

http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6093601

http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6098621

 

KOMEN MSWG:

Berdasarkan butiran seperti yang diumumkan, Pertimbangan Pembelian dikira menggunakan dasar persetujuan di antara pembeli dan penjual selepas mengambil kira aset bersih PLS yang disatukan pada 31 Mac 2018 berjumlah RM369.73 juta atau RM1.13 bagi setiap saham PLS. Nisbah harga kepada nilai buku (“PBR”) Syarikat-syarikat Awam yang Setanding yang tersenarai di Bursa Malaysia Securities Berhad dan nilai perusahaan (“EV”) kepada gandaan kawasan yang ditanam oleh Syarikat-syarikat yang Setanding.

Melihat dari sudut PBR, 0.88 kali adalah lebih tinggi daripada PBR purata Syarikat-syarikat yang Setanding  iaitu 0.48 manakala EV bagi keluasan kawasan yang ditanam Syarikat adalah dalam gandaan RM33,254, lebih rendah daripada purata EV bagi keluasan kawasan yang ditanam bagi Syarikat-syarikat Setanding iaitu RM34,034.

Difahamkan sejak lima (5) tahun kewangan yang lalu iaitu dari 31 Mac 2014 sehingga 31 Mac 2018, pendapatan Kumpulan PLS berubah-ubah. Kumpulan mencatatkan kerugian dari tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 hingga 31 Mac 2018. Oleh itu, pemegang saham minoriti perlu mempertimbangkan cadangan ini. Cadangan Perolehan ini dijangka menyediakan Kumpulan Ekovest dengan aliran pendapatan tambahan melalui bahagian pendapatan masa depan dalam PLS serta mengurangkan pergantungannya terhadap perniagaan sedia ada iaitu dalam pembinaan, pembangunan hartanah dan operasi tol. Pemegang saham minoriti perlu menilai sama ada faedah yang dinantikan daripada Cadangan Perolehan ini akan direalisasikan. Jika ya, tempoh yang diperlukan untuk Ekovest untuk mendapatkan semula pelaburannya mungkin lebih lama daripada yang dijangkakan.

Selepas perolehan, pemegang saham minoriti sentiasa boleh bertanya kepada Lembaga Pengarah Ekovest sewaktu AGM pada masa depan tentang perkara berkaitan pelaburan Ekovest dalam PLS, termasuk prestasinya.

 

NEXGRAM HOLDINGS BERHAD (“NEXGRAM” atau “Syarikat”)

Peletakan jawatan Juruaudit

Lembaga Pengarah Nexgram Holdings Berhad (“Syarikat”) pada 21 Mac 2019 mengumumkan, pada 20 Mac 2019, Syarikat menerima notis secara bertulis yang diberikan menurut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016 daripada Adam & Co menyatakan peletakan jawatan mereka sebagai Juruaudit Syarikat berkuatkuasa dari 18 Mac 2019.

Adam & Co. yang merupakan Juruaudit Syarikat telah dilantik semula pada Mesyuarat Agung Tahunan terakhir (“AGM”) Syarikat yang diadakan pada 28 Disember 2018 untuk meneruskan jawatan mereka sehingga tamat AGM Syarikat yang akan datang. Peletakan jawatan itu adalah secara sukarela.

Selain perkara di atas, Lembaga tidak menyedari apa-apa perkara lain yang perlu dibawa kepada perhatian para pemegang saham Syarikat.

Sumber:

http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6102073

KOMEN MSWG:

Kami maklum peletakan jawatan oleh juruaudit, Adam & Co dibuat secara sukarela. Bagaimanapun, mengambil semangat ketelusan dan bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak diingini, Syarikat perlu mendedahkan sebab-sebab peletakan jawatan juruaudit luar mereka.


TINJAUAN MINGGUAN AGM/EGM MSWG UNTUK TEMPOH 25 HINGGA 29 MAC 2019

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

26.03.19 (Selasa)
9.30 pagi

Wong Engineering Corporation Bhd
(AGM)

Bilik Auditorium, Level 1, Lot 204, Jalan Bukit Belimbing 26/38, Off Persiaran Tengku Ampuan, Lion Industrial Park Seksyen 26, 40400 Shah Alam, Selangor

27.03.19 (Rabu)
11.00 pagi

LPI Capital Bhd
(AGM)

Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, 11 Jalan Sultan Ismail, KL

27.03.19 (Rabu)
03.00 petang

Eco World Development Group Bhd 
(AGM)

EcoWorld Gallery @ Eco Grandeur, Persiaran Mokhtar Dahari, Bandar Puncak Alam

28.03.19 (Khamis)
10.00 pagi

Bursa Malaysia Bhd
(AGM)

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

29.03.19 (Jumaat)
08.00 pagi

London Biscuits Bhd
(AGM)

No. 1, Jalan Istimewa 2, Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram, JB

29.03.19 (Jumaat)
10.00 pagi

MYNews Holdings Bhd
(AGM)

Bukit Utama Golf Resort, 1 Club Drive, Bukit Utama, Bandar Utama, PJ

29.03.19 (Jumaat)
10.00 pagi

Sunsuria Bhd
(AGM)

Sunsuria City Celebration Centre, Bandar Sunsuria, Sepang

29.03.19 (Jumaat)
11.30 pagi

Sunsuria Bhd
(EGM)

Sunsuria City Celebration Centre, Bandar Sunsuria, Sepang

30.03.19 (Sabtu)

08.00 pagi

London Biscuits Bhd

(EGM)

No. 1, Jalan Istimewa 2, Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Ulu Tiram, JB

 

Perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Wong Engineering Corporation Bhd

(AGM)

Segmen pembuatan adalah penyumbang utama kepada pendapatan, menyumbangkan 85% daripada pendapatan Kumpulan yang disebabkan oleh peningkatan dalam permintaan pelanggan pada TK2018. Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai bagi segmen pembuatan ini sebahagian besarnya tidak berubah selepas dikecualikan keuntungan daripada pelupusan harta kosong (halaman 16 dalam Laporan Tahunan 2018).

  1. Sila jelaskan kenaikan ketara dalam kos jualan yang meningkat sebanyak 58% pada TK2018, kesan turun naik dalam USD serta kenaikan harga bahan mentah dan kos buruh.
  2. Apakah jangkaan Syarikat tentang keuntungan perniagaan pembuatan sedia ada dalam tempoh tiga tahun akan datang?

LPI Capital Bhd
(AGM)

Kami merujuk halaman 144 dan 145 dalam Laporan Tahunan dan mendapati tuntutan bersih yang ditanggung oleh Kumpulan meningkat sebanyak 16.3% atau RM53.3 juta kepada RM381.0 juta daripada RM327.7 juta pada tahun 2017. Prestasi tuntutan bersih untuk Kelas-kelas Lain menyebabkan nisbah meningkat daripada 41.0% kepada 49.6% dalam tempoh yang sama.

Apakah yang menyebabkan tuntutan yang lebih tinggi dalam Kelas-kelas Lain dan langkah yang diambil untuk menangani masalah ini?    

Eco World Development Group Bhd 
(AGM)

Eco Horizon Sdn. Bhd. (“EHSB”), sebuah syarikat usaha sama, mencatatkan pendapatan berjumlah RM42.44 juta dalam TK2018 berbanding tiada pendapatan pada TK2017. Bagaimanapun, ia mencatatkan kerugian lebih tinggi iaitu sebanyak RM5.09 juta dalam TK2018 berbanding kerugian RM4.99 juta pada TK2017 seperti yang dilaporkan di halaman 136 dan 138 dalam Laporan Tahunan.

(a)        Apakah yang menyebabkan kerugian yang lebih tinggi?

(b)        Bilakah EHSB dijangka mencatatkan keuntungan untuk Kumpulan?

Bursa Malaysia Bhd
(AGM)

Melihat dari sudut penguatkuasaan, kami mendapati Bursa telah mengambil tindakan terhadap 15 syarikat tersenarai dan 22 pengarah (daripada 5 syarikat tersenarai dan 1 orang lain) di atas pelbagai pelanggaran Keperluan Penyenaraian. Sebanyak 138 tindakan pengurusan juga telah diambil terutama berkaitan urusan oleh pengarah dan pegawai utama, pendedahan mengenai kelestarian dalam Laporan Tahunan dan sebagainya (halaman 16, GFR)

Adakah sebarang tindakan tegas diambil untuk mengehadkan atau mengelakkan para pengarah yang melakukan kesalahan ini daripada menganggotai lembaga pengarah syarikat tersenarai, terutama pesalah berulang? 

London Biscuits Bhd
(AGM)

Para pemegang saham pastinya berasa bimbang dengan pendapat bersyarat yang dinyatakan oleh juruaudit bebas dalam laporan mereka mengenai penyata kewangan Syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2018.

Justeru, kami ingin mendapatkan penjelasan tentang isu berikut:

  1. Apakah yang menyebabkan Syarikat menukar juruaudit baru dan melantik mereka pada 20 Disember 2018 yang menyebabkan mereka tidak dapat menyaksikan pengiraan inventori fizikal pada akhir tahun kewangan 30 September 2018?
  2. Halaman 7 dalam Laporan Tahunan, di bawah asas kepada pendapat bersyarat, dinyatakan bahawa pihak pengurusan berpendapat pendedahan transaksi pihak berkaitan tidak diaplikasikan berikutan status undang-undang syarikat tersebut.

Adakah syarikat yang dimaksudkan itu Secret Ingredients Sdn Bhd? Apakah status undang-undang syarikat ini berhubung London Biscuits? Sila jelaskan apa yang dimaksudkan dengan ketiadaan hubungan yang sah dari segi undang-undang.

  1. Oleh kerana juruaudit tidak dapat memastikan ketepatan data pengusiaan penghutang perdagangan, bagaimanakah para pelabur dan pengguna penyata kewangan yang sudah diaudit berpuas hati dengan rosotnilai, sama ada ia diiktiraf dengan sewajarnya dan tidak akan ada lagi rosot nilai ketara dibuat? 
  2. Mengapakah juruaudit tidak dapat memperoleh bukti audit yang mencukupi berhubung pemerolehan loji dan jentera (P&M) berjumlah RM52.7 juta yang dibuat pada tahun kewangan semasa?

Mengapakah juruaudit tidak dapat menentukan sama ada pelarasan diperlukan untuk menyatakan semula nilai P&M? Mungkinkah terdapat keperluan untuk mengenakan rosot nilai dan ia tidak diiktiraf dalam penyata kewangan?

MYNews Holdings Bhd
(AGM)

Pemain pasaran utama terus berevolusi dan memperbaiki produk mereka. Apakah kelebihan daya saing utama Syarikat untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan dan bahagian pasaran?

Sunsuria Bhd

(AGM)

Kumpulan mengalami kerugian daripada penurunan nilai berjumlah RM29.51 iaitu RM17.51 juta daripada penurunan nilai hartanah pelaburan (Tanah Pegangan Bebas) dan RM12.36 juta daripada Tempat Letak Kereta bagi tahun kewangan berakhir 2018; ia dizahirkan pada halaman 123 Laporan Tahunan.

  1. Apakah yang menyebabkan kerugian kemerosotan nilai bagi Tanah Pegangan Bebas dan Tempat Letak Kereta?
  2. Dimanakah lokasi Tanah Pegangan Bebas dan Tempat Letak Kereta ini?
  3. Adakah terdapat pertambahan kepada rosot nilai ke atas Tanah Pegangan Bebas dan Tempat Letak Kereta ini pada TK2019?

Sunsuria Bhd
(EGM)

Cadangan ESOS akan ditadbir dan diurus oleh Jawatankuasa ESOS selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil.

  1. Siapakah ahli Jawatankuasa ESOS? Sekiranya tidak/belum dilantik, siapakah ahli Jawatankuasa yang dicadangkan?
  2. Sila jelaskan bagaimanakah Jawatankuasa ESOS dapat berfungsi secara adil kerana setiap ahli Lembaga akan diperuntukkan saham di bawah ESOS?

London Biscuits Bhd

(EGM)

  1. Syarikat menjadualkan Mesyuarat Agung Tahunan pada 29 Mac 2019. Mengapakah Lembaga tidak mengadakan EGM pada hari yang sama sebaik sahaja selepas Mesyuarat Agung Tahunan? Mengapa memilih hari berikutnya selepas Mesyuarat Agung Tahunan? Penjadualan ini mendatangkan kesulitan kepada para pemegang saham terutama yang datang dari luar kerana mereka perlu kembali pada keesokan harinya untuk menghadiri EGM. EGM pula dijadualkan bermula terlalu awal iaitu pada jam 8 pagi.

Adakah Lembaga Pengarah tidak merasakan waktu AGM dimulakan itu terlalu awal dan menyukarkan para pemegang saham terutama yang datang dari luar? Lebih-lebih lagi jika tempat itu tidak mudah diakses oleh pengangkutan awam?

  1. Nampaknya Syarikat sedang memulakan beberapa penempatan persendirian. Penempatan terakhir telah diselesaikan pada 10 Disember 2018 dan satu lagi cadangan akan dibentangkan dalam EGM yang akan datang.

Ini seolah-olah memberi petunjuk yang Syarikat menghadapi masalah aliran tunai terutama dengan aliran tunai negatif daripada aktiviti operasi untuk dua tahun kewangan sebelum ini. Situasi ini membimbangkan kerana Kumpulan mempunyai pinjaman yang besar pada masa ini berjumlah kira-kira RM379.13 juta terutama apabila bayaran balik RM10 juta dijadualkan pada Julai 2019.

Apakah strategi Syarikat untuk mengurus kedudukan aliran tunai yang tidak menentu ini?

Language: