18.01.2019
MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
Mesyuarat Agung di Lokasi Terpencil
Multi-Usage Holdings Berhad (MUH) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 pada 27 Disember 2018 jam 9 pagi. Agak menghairankan kerana AGM ini diadakan di Avani Sepang, Gold Coast Resort, Sungai Pelek, Selangor.
Lokasi ini boleh dianggap sebagai lokasi terpencil untuk sebuah syarikat yang beribu pejabat di Pulau Pinang yang mana sebahagian besar pemegang saham berada di sekitar Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang. Agak mustahil bagi pemegang saham untuk berada di sekitar kawasan Sungai Pelek yang jauh dari Kuala Lumpur, yang jaraknya kira-kira sejam perjalanan. Ramai juga yang tidak pernah mendengar tentang kawasan itu.
Ini bukan kali pertama AGM syarikat diadakan di situ kerana pada tahun lepas ia diadakan di tempat yang sama. Wakil MSWG telah menimbulkan isu ‘lokasi terpencil’ ini dan Lembaga Pengarah menyatakan yang mereka mengambil maklum.
Apakah sebenarnya mesej yang cuba disampaikan oleh syarikat? Tanggapan awal? Menyusahkan pemegang saham? Tidak menggalakkan pemegang saham menghadiri AGM? Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya tanggapan dan imej yang positif kepada syarikat.
Seperti yang dijangka, hanya segelintir pemegang saham menghadiri AGM pada 27 Disember 2018; kira-kira 12 pemegang saham. Situasi ini sudah pasti tidak kondusif untuk menarik lebih ramai penyertaan pemegang saham.
Besar berkemungkinan pilihan lokasi secara langsung memberi kesan terhadap kehadiran mereka.
Sekali lagi, wakil MSWG mengutarakan isu ‘lokasi terpencil’ dan meminta Lembaga Pengarah memilih lokasi yang lebih ‘dapat diakses’ untuk AGM yang akan datang supaya lebih ramai pemegang saham dapat hadir.
Sekalipun Lembaga Pengarah tetap mahu mengadakan AGM di lokasi yang sama, wakil MSWG meminta supaya mesyuarat dimulakan pada jam 10 pagi dan bukannya 9 pagi kerana perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke lokasi. Mungkin dengan melewatkan sedikit mesyuarat ini dapat menggalakkan kehadiran lebih ramai pemegang saham. Pengerusi Lembaga Pengarah menyatakan yang mereka akan mengambil perhatian terhadap permintaan ini (seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi pada AGM tahun lepas).
Segelintir pemegang saham pada AGM tahun lepas mengadu bahawa lokasi dan masa AGM ‘memaksa’ mereka bertolak pada hari sebelumnya dan menempah penginapan untuk bermalam semata-mata untuk menghadiri AGM. Ini melibatkan masa dan kos. Mereka juga mengadu penginapan di Avani Sepang, Gold Coast Resort adalah mahal dan mereka terpaksa mencari penginapan yang lebih murah di kawasan sekitarnya.
Namun begitu, masa permulaan bukanlah isu utama tetapi pilihan lokasi untuk AGM.
Panduan 12.3 Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) dimulakan dengan menyatakan bahawa lembaga pengarah perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan penyertaan para pemegang saham dalam Mesyuarat Agung.
Sudah tentu pemilihan Sungai Pelek sebagai lokasi AGM tidak selaras dengan ‘langkah bagi memastikan pemegang saham dapat menyertai Mesyuarat Agung’ seperti yang digariskan oleh MCCG. Amalan 12.3 MCCG juga menegaskan supaya syarikat tersenarai memanfaatkan teknologi bagi memudahkan pengundian dan penyertaan pemegang saham dalam AGM yang diadakan di kawasan terpencil. Lembaga perlu lebih responsif dan mengambil perhatian terhadap semua aduan dan keluhan.
Mungkin juga syarikat memerlukan penglibatan pengawalselia bagi meyakinkan/ menggalakkan mereka memilih lokasi AGM yang lebih mudah diakses bagi menambahkan kehadiran, seterusnya penyertaan pemegang saham.
PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA
SCOMI ENERGY SERVICES BHD
PENDAHULUAN YANG DIBERIKAN OLEH SCOMI ENERGY SERVICES BHD (“SYARIKAT”) KEPADA SYARIKAT INDUK, SCOMI GROUP BHD DAN ANAK-ANAK SYARIKATNYA
Lembaga Pengarah mengumumkan mereka mengesahkan bahawa Syarikat telah tidak mengumumkan urus niaga pihak berkaitan (“RPT”) tertentu mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (“MMLR”). RPT ini berkaitan jumlah pendahuluan kepada syarikat induk iaitu Scomi Group Bhd dan anak syarikatnya (“Kumpulan Syarikat Scomi”) sepanjang tempoh dua (2) tahun dari Jun 2016 sehingga Jun 2018 (“Tempoh Terlibat”).
Selepas mempertimbangkan latar belakang pegangan saham antara Syarikat dan Scomi Group Bhd serta pengarah bersama di antara dua entiti tersenarai ini, pendahuluan ini dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan.
Jumlah keseluruhan pendahuluan yang dicatatkan ialah RM64,334,934, yang mana RM19,393,105 berkaitan perjanjian perkhidmatan bersama antara Syarikat dan Scomi Group Bhd dan tidak dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan menurut perenggan 10.08(11)(k) MMLR. Baki berjumlah RM44,941,829 (“Pendahuluan”) merupakan urus niaga pihak berkaitan. Dalam Tempoh Terlibat, Kumpulan Syarikat Scomi telah membayar balik RM9,703,283.
Syarikat dan Lembaga Pengarah telah difahamkan bahawa Pendahuluan ini digunakan untuk tujuan dan manfaat Kumpulan Syarikat Scomi.
Sila rujuk lampiran untuk butiran lanjut tentang pengumuman ini.
Pengumuman ini bertarikh 11 Januari 2019.
Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcemen...
KOMEN MSWG:
Selaras dengan Perenggan 10.08(1) Bab 10 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), sesebuah syarikat tersenarai perlu mengumumkan apa-apa urusniaga pihak berkaitan (RPT) yang melebihi 0.25% daripada Nisbah Peratusan dalam Perenggan 10.02(g) MMLR kepada bursa saham secepat mungkin selepas syarat-syarat transaksi telah dipersetujui, melainkan jumlah urus niaga adalah kurang daripada RM500,000 atau ia suatu RPT yang berulang.
Pengumuman Scomi menyatakan Lembaga Pengarah mengumumkan bahawa syarikat itu telah tidak memasukkan pendedahan tentang Urus niaga Pihak Berkaitan tertentu. Sebelum ini, ia dizahirkan sebagai “jumlah terhutang daripada syarikat induk muktamad”.
Nampaknya Lembaga Pengarah tidak menyedari bahawa urus niaga ini perlu dizahirkan di bawah MMLR sehinggalah mereka dimaklumkan tentang itu. Lembaga kemudiannya mengambil tindakan sewajarnya seperti yang dinyatakan dalam pengumuman iaitu:-
“Dalam tempoh berkenaan, Lembaga percaya bahawa jumlah yang terhutang oleh Scomi Group Bhd adalah berkaitan perjanjian perkhidmatan bersama antara syarikat dan Scomi Group Berhad”.
Namun, pengenalpastian urus niaga sebagai RPT yang perlu dizahirkan mengikut Perenggan 10.08 mungkin tidak disedari oleh Lembaga dalam tempoh berkaitan iaitu 2016 - 2018. Perkara ini menimbulkan beberapa isu:-
- Adakah para Pengarah bertindak wajar apabila tidak menyedari bahawa transaksi ini sebenarnya dilaporkan sebagai RPT di bawah MMLR serta perlu dizahirkan? Adakah para Pengarah melaksanakan tugas mereka dengan mahir, berhati-hati serta ketekunan yang wajar yang sepatutnya ada sebagai pengarah yang berfikiran waras – ‘ujian orang waras’? Adakah pengarah perlu bertanggung jawab kerana tidak menentukan transaksi RPT itu sebenarnya perlu dizahirkan di bawah MMLR?
- Di manakah peranan setiausaha syarikat selaku penasihat kepada Lembaga mengenai perkara yang berkaitan pematuhan MMLR? Apakah akauntabiliti mereka berhubung urus niaga RPT ini yang memerlukan penzahiran di bawah MMLR? Adakah mereka bertindak seperti setiausaha syarikat yang ‘munasabah’ atau adakah mereka tidak memenuhi jangkaan standard yang diperlukan?
- Siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan oleh Lembaga di pihak pengurusan kerana tidak menyedari bahawa transaksi tersebut adalah RPT yang perlu dilaporkan dan dizahirkan di bawah MMLR?
- Jika pendahuluan ini dibuat tanpa mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Lembaga Pengarah (BOD) dan Jawatankuasa Audit (AC), siapakah yang membenarkan urus niaga ini diteruskan sepanjang tempoh dua tahun? Adakah terdapat salah faham antara pihak pengurusan dan lembaga pengarah? Di manakah protokol berkaitan pengawasan, pematuhan, pelaporan, semakan dan imbangan serta kawalan dalaman?
Jelas sekali, terdapat beberapa isu tadbir urus korporat yang dipertaruhkan selain rangka kerja pengurusan risiko yang perlu diperkukuhkan.
Secara ringkas, siapakah yang dipertanggungjawabkan ke atas urus niaga ini yang memerlukan penzahiran di bawah MMLR dan siapakah pula yang meluluskan urus niaga ini?
Pemegang saham minoriti juga terkesan akibat penzahiran urus niaga RPT yang tidak dibuat tepat pada masanya yang mana penzahiran ini boleh mempengaruhi keputusan pelaburan mereka.
Walau bagaimanapun, sepatutnya tiada ruang untuk kecuaian atau kelalaian. Jawatankuasa Audit dan lembaga pengarah perlu lebih berhati-hati apabila menilai RPT pada masa hadapan. Pemegang saham juga mungkin ingin mengetahui lebih lanjut tentang status pendahuluan yang masih ada dan kebolehpulihannya.
TINJAUAN MINGGUAN AGM/EGM MSWG UNTUK TEMPOH 21 HINGGA 25 JANUARI 2019
Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.
Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my
Tarikh & Masa |
Syarikat |
Lokasi |
22.01.19 (Selasa) |
Bright Packaging Industry Bhd |
Bukit Jalil Golf & Country Resort, Jalan Jalil Perkasa 3, Bukit Jalil, 57000 Kuala Lumpur |
23.01.19 (Rabu) 10.00 pagi |
Fraser & Neave Holdings Bhd (AGM) |
Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A, Jalan Bukit Kiara 1, 60000 Kuala Lumpur |
Salah satu perkara penting yang diajukan: |
|
Syarikat |
Perkara/ Isu untuk Diajukan |
BRIGHT PACKAGING INDUSTRY BERHAD |
Dalam tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2018 (“TK2018”), Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai berjumlah RM3,801,093 berbanding RM3,589,258 dalam TK2017. Bagaimanakah Lembaga Pengarah menangani prestasi Kumpulan dan apakah prospek untuk mencapai keuntungan pada TK2019? |
FRASER & NEAVE HOLDINGS BHD (AGM) |
Kerajaan Malaysia akan mengenakan cukai eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang berkuat kuasa mulai 1 April 2019. i) Apakah kesan yang dijangkakan Syarikat daripada rejim cukai baharu ini? ii) Apakah tindakan syarikat untuk mengurangkan kesan ini? |
PASUKAN MSWG
Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, [email protected]
Lya Rahman, Pengurus Besar, [email protected]
Rebecca Yap, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Quah Ban Aik, Ketua, Pemantauan Korporat, [email protected]
Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Hoo Ley Beng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, [email protected]
Lim Cian Yai, Penganalisa Kanan, Pemantauan Korporat, [email protected]
PENZAHIRAN KEPENTINGAN
• Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi APFT Bhd.
Maklumbalas
Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke [email protected].
PENOLAKAN TUNTUTAN
Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).
Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.
MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.
MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.