MSWG Weekly Newsletter 12 April 2019 (BM)

Friday, 12 April, 2019

12.04.2019

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Tingkah Laku Pemegang Saham – Kerusi Terbang, Bahasa Kesat dan Dendangan Lagu

Kami menyaksikan sebuah klip video pendek di Facebook, yang didakwa dirakamkan sewaktu AGM Stone Master Corporation Bhd. Seorang pemegang saham dilihat sedang meluahkan kemarahannya secara agresif di hadapan barisan Lembaga Pengarah. Dia mempunyai alasan untuk menzahirkan kekecewaannya; saham syarikat itu digantung pada harga terakhir 3 sen sesaham. Pemegang saham yang marah itu duduk di barisan pertama. Dia kemudiannya melemparkan kerusi di barisan hadapan. Klip video itu menunjukkan empat kerusi dibaling. Pengerusi mesyuarat kemudiannya menyatakan yang dia menangguhkan AGM. Segelintir pemegang saham yang berada di belakang membantah keras, menyatakan yang AGM itu tidak sepatutnya ditangguhkan. Jika perlu, mereka sepatutnya mendapatkan orang lain untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut. Pengerusi kemudiannya meninggalkan tempat duduk di atas pentas sambil menyatakan peletakan jawatannya. Klip pendek itu tamat.

 

Pemegang saham perlu mengamalkan tahap ketertiban tertentu apabila berinteraksi dengan ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat agung. Kehilangan wang akibat kerugian dalam pelaburan saham adalah pengalaman yang tidak menyenangkan. Apatah lagi jika kehilangan wang dalam jumlah yang besar. Kita boleh membantah dengan cara dan pendekatan yang baik. Tiada ruang untuk perbuatan ganas dalam mesyuarat agung, termasuk merosakkan harta benda atau tindakan yang membahayakan fizikal seseorang kerana perbuatan seperti itu membawa kepada kesalahan jenayah. Tiada ruang untuk kelakuan sedemikian dalam mesyuarat agung.

Ada satu lagi AGM yang menyaksikan kehadiran ‘bouncers’ yang didakwa bagi memastikan tiada pemegang saham bertindak di luar kawalan. Tindakan ini membawa kepada intimidasi. Kejadian lain yang tidak diingini berlaku pada mesyuarat agung termasuk penggunaan bahasa yang kasar, agresif dan maki hamun. Penggunaan bahasa seumpama itu tidak membantu langsung dalam menyampaikan mesej oleh pemegang saham kerana lembaga pengarah akan lebih fokus terhadap bahasa yang digunakan dan bukannya perkara penting yang mahu disampaikan kepada mereka. Lembaga Pengarah akan menjadi defensif dan apa jua perkara yang mahu disampaikan akan hilang begitu sahaja.

                                                                                                                                                      

Kami maklum, ada masanya pertanyaan atau komen daripada para pemegang saham mengandungi perkataan yang tidak diingini. Namun kami berasa lega apabila ada sesetengah pemegang saham yang meminta maaf apabila ditegur oleh pengerusi yang menyatakan bahawa perkataan itu tidak boleh diterima dalam mesyuarat dan pemegang saham perlu mengelak daripada menggunakan perkataan tersebut.

 

Perdebatan atau melontarkan soalan dengan penuh semangat oleh para pemegang saham itu tidak salah tetapi ada batasannya. Penglibatan pemegang saham yang dilakukan secara sihat pastinya sangat dialu-alukan tetapi tidak bagi yang melampaui batas sehingga membaling kerusi dan menggunakan bahasa kasar dan kesat. Tindakan ini bukan hanya mengejutkan tetapi langsung tidak boleh diterima.

 

Kami sedar, kini lebih banyak lembaga pengarah yang memberikan masa yang cukup kepada para pemegang saham untuk melibatkan diri dalam mesyuarat agung. Ini suatu perkembangan tadbir urus korporat yang baik dari perspektif penglibatan pemegang saham. Malah, kami telah banyak menyaksikan pemegang saham yang menimbulkan persoalan dan komen secara berhemah yang membawa kepada perbincangan yang bermakna.

 

Ada juga insiden pemegang saham penyanyi yang berkeras mahu mendendangkan lagu dalam mesyuarat agung. Mesyuarat agung adalah saluran komunikasi dua hala antara lembaga dan pemegang saham mengenai perkara-perkara berkaitan syarikat. Selalunya tuan pengerusi membenarkan sang penyanyi menyampaikan lagunya. Bagaimana jika ada pemegang saham lain juga berkeras mahu menyanyi dalam mesyuarat agung? Pemegang saham menghadiri mesyuarat agung untuk membincangkan isu-isu serius dan sesi nyanyian sebenarnya melanggar ketertiban yang harapkan dalam sesebuah mesyuarat agung.

 

Pengerusi mesyuarat perlu menegur dengan sopan tetapi tegas supaya pemegang saham penyanyi berhenti menyanyi. Lagipun, itu bukanlah suatu agenda dalam mesyuarat agung.

 

PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

 

SUIWAH CORPORATION BERHAD

 

BAHAGIAN A – PEKELILING KEPADA PEMEGANG SAHAM YANG BERKAITAN CADANGAN PENGURANGAN MODAL TERPILIH (“SCR”) DAN PELAKSANAAN PEMBAYARAN BALIK SUIWAH CORPORATION BERHAD MENURUT SEKSYEN 116 AKTA SYARIKAT 2016

 

BAHAGIAN B - SURAT MAKLUMAN BEBAS DARIPADA MERCURY SECURITIES SDN BHD KEPADA PEMEGANG SAHAM SCB BERHUBUNG CADANGAN SCR

 

Sumber: http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6118529

 

Cadangan penasihat bebas:

 

Berdasarkan maklumat di atas dan penilaian kami secara keseluruhan, walaupun Cadangan SCR ini dianggap tidak adil, kami berpendapat Cadangan SCR ini adalah munasabah.

 

Sehubungan itu, kami mencadangkan supaya Pemegang Saham Yang Layak MENGUNDI SEBULAT SUARA menyokong Resolusi Khas berkaitan Cadangan SCR yang akan dibentangkan dalam EGM yang akan datang.

 

Pemegang Saham yang Layak dinasihatkan supaya memantau dengan teliti harga pasaran saham SCB dan menilai Jumlah Tunai SCR sebelum memutuskan sama ada untuk mengundi menyokong atau membantah Resolusi Khas berkaitan Cadangan SCR ini. Jika Pemegang Saham yang Layak ingin melupuskan saham SCB, mereka juga boleh mempertimbangkan untuk merealisasikan pelaburan mereka di pasaran terbuka sekiranya harga pasaran lebih tinggi daripada jumlah Tunai SCR, selepas mengambil kira kos urusniaga yang terlibat dan dengan anggapan tidak akan ada semakan semula kepada Jumlah Tunai SCR.

 

KOMEN MSWG:

 

Suiwah Corporation Bhd (Suiwah) adalah sebuah lagi syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mana pemegang saham utamanya melaksanakan pengurangan modal terpilih (SCR) untuk menjadikan syarikat tersenarai ini sebuah syarikat swasta. Baru-baru ini pada Januari 2019, syarikat hartanah yang sudah lama disenaraikan dalam Bursa, Selangor Properties Bhd telah diambil alih oleh keluarga Wen pada harga RM6.30 sesaham.

 

KEWAJARAN

Menurut halaman 41 dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada para pemegang saham bertarikh 8 April 2019, harga tawaran tunai RM2.80 bagi setiap saham Suiwah yang dimiliki oleh Pemegang Saham yang Layak mewakili diskaun di antara 43% dan 46% daripada anggaran nilai sesaham iaitu RM4.93 hingga RM5.20 menggunakan kaedah penilaian jumlah komponen, kata penasihat bebas (IA) Mercury Securities Sdn Bhd.  

 

Selain mendapatkan keuntungan modal, objektif utama pelaburan saham juga berkait rapat dengan pelaburan dalam masa depan syarikat. Pemegang saham pula akan mendapat faedah jika syarikat berjaya mendapat keuntungan dengan memperuntukkan serta menggunakan sumber yang ada dalam tangan dengan cara terbaik.  

 

Oleh yang demikian, kadang kala terdapat kes yang mana pemegang saham utama memutuskan untuk menjadikan syarikat sebagai syarikat swasta pada harga premium melebihi harga pasaran, tetapi pada diskaun yang tinggi berbanding nilai sebenar aset syarikat. 

 

Kami percaya para pemegang saham perlu diberi nilai yang saksama untuk pelaburan mereka memandangkan diskaun antara 43% hingga 46% daripada nilai anggaran sesaham Suiwah adalah tinggi.

 

Melihat dari segi perspektif, harga tawaran RM6.30 bagi setiap saham Selangor Properties mewakili diskaun 23.91% kepada anggaran nilai aset bersih selepas penilaian semula (RNAV) sesaham iaitu RM8.28.

KEMUNASABAHAN

Disebabkan sejarah prestasi harga saham Suiwah, analisis kecairan dan ketiadaan cadangan alternatif, IA menganggap harga tawaran RM2.80 sebagai harga yang munasabah. Harga tawaran ini lebih tinggi daripada harga pasaran purata wajaran volum harian Suiwah untuk 94% daripada jumlah hari pasaran sepanjang 10 tahun yang lalu.

 

Aktiviti utama Suiwah adalah dalam tiga segmen perniagaan iaitu perniagaan runcit, perkilangan dan pembangunan hartanah.

 

Segmen runcit syarikat meliputi operasi pasar raya, pasar raya besar dan gedung beli belah. Ia kini mengendalikan enam pusat beli belah dan 12 kedai serbaneka, sebahagian besarnya di Pulau Pinang.  

 

Selain itu, syarikat mereka bentuk dan mengeluarkan papan litar bercetak fleksibel dan substrat, serta membangunkan dan membuat pelaburan dalam bidang hartanah.  

 

Menurut pembuat tawaran, Suiwah Holdings Sdn Bhd (SHSB), SCR yang dicadangkan memberikan peluang kepada Pemegang Saham yang Layak untuk keluar dan merealisasikan pelaburan mereka dalam Suiwah.

 

Pembuat tawaran berpendapat status penyenaraian Suiwah tidak membawa faedah yang besar kepada Syarikat dan para pemegang sahamnya. Pertama, saham Suiwah tidak cair dan diniagakan tipis pada masa lalu. Kedua, syarikat tidak membuat apa-apa pelaksanaan korporat atau aktiviti penjanaan dana melalui pasaran modal sejak sepuluh tahun yang lepas.

 

Ketiga, Suiwah merancang untuk membelanjakan jutaan ringgit untuk perbelanjaan modal dalam segmen runcit, pembuatan dan hartanah. Ini akan meningkatkan penggearan bagi membiayai pelaburan ini, seterusnya menghasilkan kos pinjaman yang tinggi dan keuntungan yang lebih rendah (halaman 7).

 

Melihat aktiviti pengembangan yang akan datang dan modal yang diperlukan, tindakan SHSB untuk menswastakan Suiwah menarik perhatian kami. Sebaliknya, SHSB kini mempunyai alasan yang kuat untuk memanfaatkan status penyenaraian Syarikat bagi mengumpul dana untuk aktiviti pengembangan pada masa hadapan.

 

Lagipun, syarikat dan komuniti pelaburan ibarat aur dengan tebing. Jika syarikat mahu menarik perhatian pelabur dalam kalangan orang awam, ia perlu melibatkan diri dengan komuniti pelabur secara aktif, supaya pemegang saham dapat lebih memahami perniagaan syarikat itu.

 

MSWG akan menghadiri EGM Suiwah pada 30 April 2019 untuk membincangkan cadangan tersebut.

 

TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 15 HINGGA 19 APRIL 2019

 

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada minggu ini.

 

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

 

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

17.04.19 (Rabu)
10.00 pagi

AirAsia Group Bhd
(EGM)

CAE Kuala Lumpur Sdn Bhd, Support Zone, KLIA, Sepang

18.04.19 (Khamis)
10.30 pagi

British American Tobacco (M) Bhd
(AGM)

Connexion Conference & Event Centre, Nexus 2 &3, Bangsar South City, KL

18.04.19 (Khamis)
12.00 tengah hari

KPJ Healthcare Bhd
(AGM)

The Puteri Pacific Hotel, Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru

 

Perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

AirAsia Group Bhd
(EGM)

Di halaman 11 daripada Pekeliling, dinyatakan bahawa kelemahan Transaksi yang Dicadangkan (termasuk pengaturan pajakan yang dimeterai atau yang akan dimeterai oleh pihak berkaitan) termasuk antara lain, yang berikut: (i) kadar sewa pajakan di bawah pengaturan pajakan mungkin tidak lebih menguntungkan daripada kadar yang ditawarkan oleh syarikat pajakan pesawat lain pada bila-bila masa yang ditetapkan.

 

  • Bagaimanakah kadar sewa pajakan ini berbanding kadar yang ditawarkan oleh syarikat lain? Adakah kadarnya lebih tinggi?

 

  • Adakah Syarikat membuat rundingan untuk mendapatkan kadar yang lebih baik dan jika tidak, mengapa?

British American Tobacco (M) Bhd
(AGM)

Graf di halaman 93 Laporan Tahunan memperlihatkan trend bulanan yang menurun untuk bahagian Pasaran Korporat BAT Malaysia daripada 57.6% pada Januari 2019 kepada 54.9% pada Disember 2019.

 

  • Apakah yang menyebabkan trend menurun dalam bahagian pasaran dalam TK2018?

 

  • Adakah trend ini dijangka berterusan pada masa hadapan?

 

 

KPJ Healthcare Bhd
(AGM)

Rancangan Perniagaan Strategik untuk tempoh 2019 hingga 2022 sudah diluluskan oleh Lembaga pada November 2018 (Laporan Tadbir Urus Korporat, halaman 2). Sila kongsikan segmen perniagaan strategik utama yang menjadi fokus KPJ dalam tempoh empat tahun akan datang.

 

Berbekalkan dana yang dikumpul melalui pelupusan 49% kepentingan dalam Lablink Sdn Bhd (Laporan Bersepadu 2018, halaman 61), sila maklumkan perkembangan terkini rancangan dan kemajuan syarikat dalam memperluas perniagaan patologi dan diagnostik.

 

Language: