MSWG Weekly Newsletter 08 March 2019 (BM)

Friday, 8 March, 2019

08.03.2019

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Mengapakah Pengundian Dua Tahap Perlu Dijadikan Peraturan Di bawah Keperluan Penyenaraian?

Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) telah diterbitkan pada April 2017.

Hampir dua tahun berlalu dan masih ada syarikat yang tidak menggunakan proses pengundian dua tahap untuk pengarah bebas yang melebihi tempoh 12 tahun.

Rata-rata memberikan alasan yang sama dan tidak meyakinkan:

  • Ia melanggar Akta Syarikat 2016 (walaupun SC sudah menjelaskan dalam Soalan Lazim, proses pengundian dua tahap tidak melanggar Akta Syarikat 2016)
  • Syarikat perlu menukar Perlembagaan syarikat - perubahan yang sepatutnya boleh dilakukan dengan cepat tetapi tidak dilaksanakan dengan segera
  • Pengarah kami membuat keputusan terbaik untuk syarikat (ya, ada syarikat memberikan alasan sedemikian dan kami akan menyerahkan nama syarikat-syarikat ini kepada pengawal selia)
  • Kami sudah menerangkan ‘alternatif’ seperti yang dikehendaki oleh MCCG - tanpa mengira sama ada ‘alternatif’ yang diberikan itu bersesuaian dengan Amalan yang dianjurkan

Pengundian dua tahap ini adalah Amalan di bawah MCCG yang menyatakan, sesebuah syarikat hanya perlu ‘mengaplikasikan atau jelaskan alternatif’ sesuatu Amalan di bawah MCCG. Syarat yang dikenakan berhubung Amalan ini membenarkan syarikat untuk tidak ‘mengaplikasikan’ proses pengundian dua tahap maka selagi mereka ‘menjelaskan alternatif’, mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan. Pengawal selia boleh, dan perlu mencabar sama ada ‘alternatif’ yang dijelaskan itu benar-benar suatu alternatif kepada Amalan yang perlu dipatuhi. Pengawal selia perlu mengambil pendekatan ini dengan lebih gigih.

Mengapakah pengundian dua tahap ini penting bagi memperkasakan pemegang saham minoriti?

Sebelum ini, pemegang saham majoriti boleh mengundi untuk melantik semula pengarah bebas dan ini membangkitkan persoalan tentang kebebasan pengarah bebas yang dipilih. Ia ibarat satu paradoks; majoriti pemegang saham melantik semula pengarah bebas yang mengawasi pemegang saham majoriti bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa oleh pemegang saham majoriti.

MCCG kemudiannya mengemukakan syarat, selepas tempoh 9 tahun pelantikan semula pengarah bebas adalah tertakluk pada pemilihan semula yang dibuat setahun sekali dalam AGM. Sekali lagi, pemegang saham utama boleh mengundi pengarah bebas dan kita berdepan situasi paradoks yang sama.

MCCG memperkenalkan proses pengundian dua tahap pada 2017, bagi pengarah bebas yang ingin terus menjadi pengarah bebas selepas tempoh 12 tahun (Amalan 4.2).

Pengundian tahap pertama dilakukan oleh Pemegang Saham Besar (seperti yang ditakrifkan di bawah MCCG). Pengundian tahap kedua dilakukan pemegang saham minoriti.

Kedua-dua tahap perlu mengundi memihak kepada Pengarah Bebas supaya Pengarah Bebas dilantik semula selepas tempoh 12 tahun.

Pemegang Saham Minoriti berasa diperkasakan.

Dalam sesetengah kes yang melibatkan pengundian dua tahap, pemegang saham minoriti berjaya mengalahkan usul tahap kedua dan menyebabkan pengarah bebas tidak dilantik semula sebagai pengarah bebas. Pengundian dua tahap memberikan peluang kepada pemegang saham minoriti untuk mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan. Mungkin sebab inilah syarikat enggan mengamalkan pengundian dua tahap.

Jika pengundian dua tahap tidak dijadikan peraturan, pemegang saham utama akan terus mengetepikan kepentingan pemegang saham minoriti semasa pelantikan semula pengarah bebas selepas tempoh 12 tahun.

Pengundian dua tahap adalah Amalan yang baik tetapi ia memerlukan sedikit ‘gesaan’ iaitu dengan menjadikan ia satu peraturan.

Kami melihat dari sudut operasi, kebanyakan syarikat sudah pun mengguna pakai pengundian elektronik yang membolehkan mereka melaksanakan pengundian dua tahap tanpa melibatkan kos tambahan (atau kos yang minimum).

Jadikan pengundian dua tahap sebagai satu peraturan di bawah Keperluan Penyenaraian.

Salam,

 

Devanesan

8 Mac 2019


TINJAUAN MINGGUAN AGM/EGM MSWG UNTUK TEMPOH 11 HINGGA 15 MAC 2019

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

14.03.19 (Khamis)

10.00 pagi

My E.G. Services Bhd

AGM

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

 

Salah satu perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diajukan

My E.G. Services Bhd

AGM

  1. Halaman 14 Laporan Tahunan 2018 menyatakan, syarikat telah memasuki konsesi setahun untuk menyediakan perkhidmatan gerbang pembayaran elektronik kepada kerajaan tempatan Quezon City, Filipina. Konsesi itu akan tamat pada bulan Mei tahun ini. Apakah perkembangan proses melanjutkan tempoh konsesi ini? Apakah impak jika konsesi tidak diperbaharui?
  2. Nota 7 dalam Penyata Kewangan (di halaman 122 laporan Tahunan 2018) menyatakan Syarikat mencatatkan kerugian berjumlah RM55.68 juta yang berpunca daripada kerugian syarikat bersekutu. Adakah kerugian ini memerlukan Syarikat membuat peruntukan rosotnilai berhubung pelaburan dalam syarikat bersekutu?
  3. Amalan 4.2 daripada Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG 2017) menyatakan jika Lembaga berhasrat untuk mengekalkan pengarah bebas selepas tahun kedua belas, Lembaga perlu mendapatkan sokongan pemegang saham tahunan melalui proses pengundian dua peringkat. Sila jelaskan mengapa Syarikat tidak menggunakan proses pengundian dua peringkat.

 

Language: