MSWG Weekly Newsletter 03 September 2021 (BM)

Friday, 3 September, 2021

03.09.2021

Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti kini di Twitter. Inilah langkah pertama kami untuk mewujudkan kehadiran yang lebih menonjol di media sosial serta berinteraksi dengan pihak berkepentingan kami secara lebih berkesan. Ikuti akaun Twitter MSWG di @MSWGMalaysia dan kongsikan pendapat anda tentang ciapan kami dari semasa ke semasa.

 

Aktivisme pemegang saham sewaktu pandemik

Pada bulan Julai 2021, terdapat 946 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Dua tahun kebelakangan ini amat mencabar dan menyebabkan tekanan luar biasa terhadap sebahagian besar syarikat-syarikat ini.

Situasi semasa mengingatkan kita betapa pentingnya sesebuah syarikat mempunyai strategi korporat yang holistik dan proses pengurusan kesinambungan perniagaan yang cukup. Memiliki tadbir urus yang baik bermakna memiliki rancangan kesinambungan perniagaan yang strategik untuk mengenal pasti potensi ancaman, serta memiliki perancangan luar jangka yang mantap untuk melindungi fungsi perniagaan jika berlaku sebarang gangguan terhadap perniagaan. Syarikat perlu cakna terhadap hala tuju mereka, sama ada berusaha menyelamatkan perniagaan daripada kemelut yang memberi kesan negatif terhadap prestasi kewangan atau bersiap sedia untuk pertumbuhan selepas pandemik.          

Salah satu amalan tadbir urus korporat yang baik adalah memaklumkan pihak berkepentingan tanpa perlu diminta, terutama dalam situasi semasa. Syarikat perlu sedar bahawa pendedahan maklumat yang tepat pada masanya amat penting dalam tempoh mencabar yang belum pernah kita lalui sebelum ini. Oleh itu, syarikat awam berhad perlu sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkepentingan supaya mereka dapat mengikuti dan mengetahui perkembangan terbaru berkaitan syarikat.

Di samping itu, syarikat awam berhad (PLC) perlu berupaya mengadakan mesyuarat secara maya dan pengundian jarak jauh. Sesuatu yang menarik, angka menunjukkan mesyuarat maya dapat memperluas jangkauan kepada para pemegang saham untuk mengambil bahagian dalam mesyuarat tersebut. Pemegang saham hendaklah sentiasa mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat maya supaya suara mereka didengar oleh Lembaga dan pihak pengurusan. PLC pula perlu memainkan peranan mereka dalam memberikan tempoh notis yang cukup serta menjelaskan prosedur mesyuarat dalam talian. Walaupun MSWG menyokong AGM diadakan secara fizikal untuk aktivisme pemegang saham yang lebih baik, kami berharap syarikat akan terus mengaplikasikan akses jarak jauh, iaitu mesyuarat hibrid, walaupun apabila pandemik COVID-19 sudah reda, bagi mendorong penyertaan pemegang saham secara jarak jauh.

Pandemik ini menjadi medan ujian yang utuh bagi syarikat tersenarai untuk mengurus perniagaan dan pada masa yang sama, memastikan tadbir urus syarikat tidak terjejas. Syarikat yang mempunyai amalan tadbir urus yang baik akan lebih bersedia untuk bertahan dan menangani kesan pandemik dalam jangka panjang. Tindakan mereka dapat dilihat pada reputasi, kepemimpinan, kebolehlaburan dan seterusnya, halatuju pertumbuhan pasaran modal di masa hadapan.

Kelestarian sebagai norma baharu

Apabila dilanda krisis, syarikat secara semula jadi akan menumpukan perhatian terhadap agenda kelestarian yang berkaitan kewangan seperti kesinambungan perniagaan, aliran tunai, model perniagaan dan pekerja. Agenda kelestarian lain seperti alam sekitar dan perubahan iklim biasanya akan diketepikan. Syarikat hanya mempertimbangkan faktor kelestarian apabila terdapat penjimatan kos dan risiko terhadap kemandirian perniagaan mereka dalam jangka panjang.

Kini ia bukan lagi pilihan tetapi suatu kewajipan bagi syarikat untuk memasukkan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka. Dalam norma baharu ini, perniagaan diharapkan supaya lebih bertanggung jawab terhadap pemegang kepentingannya yang merangkumi pekerja, pembekal, pelanggan, masyarakat dan alam sekitar. Lembaga dan pihak pengurusan bertanggungjawab ke atas tadbir urus kelestarian dalam syarikat termasuk menetapkan strategi, keutamaan dan sasaran kelestarian syarikat.

Kajian menunjukkan dana ESG cenderung bertahan lebih baik sewaktu kemerosotan ekonomi. Seperti yang dilaporkan oleh Morningstar, dana ekuiti berasaskan ESG, seperti dana ekuiti, mengalami kerugian besar dan mendadak pada suku pertama 2020. Walau bagaimanapun, dana tersebut mampu bertahan lebih baik berbanding dana konvensional. Tujuh daripada sepuluh dana ekuiti lestari menduduki separuh kedudukan teratas dalam Kategori Morningstar masing-masing manakala 24 daripada 26 dana indeks ESG berjaya mengatasi produk konvensional terdekat mereka. 

Di samping itu, sebuah projek penyelidikan oleh Fidelity mengenal pasti hubungkait yang “sangat kuat” antara prestasi pasaran yang lebih teguh dalam syarikat dengan penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang lebih tinggi. Ini menggambarkan bahawa pihak berkepentingan amat mengharapkan ESG dan akan memberikannya ganjaran yang setimpal.

Kelestarian memainkan peranan yang lebih besar dalam norma baharu, menegaskan betapa pentingnya menjalankan perniagaan secara mampan dan bertanggungjawab.

 

Devanesan Evanson

Ketua Pegawai Eksekutif

 


Tinjauan Mingguan AGM/EGM MSWG untuk tempoh 6 hingga 10 September 2021

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

 

Tarikh & Masa

Syarikat

Tinjauan ringkas

06.09.21 (Isnin)
11.00 pagi

Lii Hen Industries Bhd (AGM)

(Ditangguhkan dari 16 Jun 2021)

Syarikat tidak begitu terkesan dengan pandemik memandangkan prestasi kewangannya utuh untuk TKB2020. Namun, Syarikat berdepan cabaran untuk memasarkan produknya ke dalam pasaran baharu bagi memastikan perniagaannya terus berkembang.

07.09.21 (Selasa)
09.30 pagi

Hartalega Holdings Bhd 
(AGM)

Hartalega mencatatkan keputusan cemerlang untuk TK2021, yang menyaksikan keuntungan bersih melepasi paras RM2 bilion. Walau bagaimanapun, Syarikat perlu menangani penurunan harga jualan purata untuk produknya. Permintaan dijangka meningkat disebabkan  pandemik yang merebak secara agresif, lebih-lebih lagi dengan gelombang baharu varian Covid-19 yang melanda banyak negara di seluruh dunia. Pertumbuhan syarikat sarung tangan seperti Hartalega dijangka dapat diteruskan dalam persekitaran ‘norma baharu’, seiring dengan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kebersihan.

07.09.21 (Selasa)
11.00 pagi

EUPE Corporation Bhd
(AGM)

Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM82.8 juta untuk TK2021, dengan peningkatan 16% berbanding RM71.2 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Kenaikan pendapatan dan keuntungan pada TK2021 sebahagian besarnya disumbangkan oleh Parc3, projek KL kedua syarikat. Parc3 kini mencapai kadar pengambilan melebihi 90%.

07.09.21 (Selasa)
11.00 pagi

Master-Pack Group Bhd (AGM)

(Ditangguhkan dari 27 Mei 2021)

Kos untuk mengendalikan fungsi audit dalaman syarikat oleh pihak luar untuk TK2020 berjumlah RM20,680 setahun atau kira-kira RM1,700 sebulan. Melihat yuran audit dalaman yang rendah, timbul persoalan tentang keberkesanan fungsi audit dalaman ini terhadap Master-Pack, iaitu sama ada syarikat mendapat perlindungan yang cukup.

08.09.21 (Rabu)
10.30 pagi

Sentoria Group Bhd 
(AGM)

Kumpulan mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM171.2 juta untuk TK2021 berbanding kerugian bersih RM88.6 juta pada TK2020, terutamanya disebabkan oleh pengecilan margin di bahagian Pembangunan Hartanah, kenaikan kos pembinaan dan pembangunan serta kos berkaitan yang disebabkan oleh kelewatan projek dalam TK2021.

08.09.21 (Rabu)
11.00 pagi

JOE Holding Bhd  
(AGM)

Permintaan yang lemah dalam segmen bateri automotif tempatan menyebabkan pendapatan JOE menurun 13.7% kepada RM25.2 juta (TK2020: RM29.2 juta) manakala kerugian sebelum cukai meningkat kepada RM0.98 juta (TK2020: RM0.65 juta). Menyentuh diversifikasi syarikat ke dalam perniagaan sarung tangan, didapati kerja-kerja membangunkan barisan pengeluaran sarung tangan masih belum bermula pada akhir TK2021.

Sementara itu, Kumpulan mempunyai sekuriti pelaburan dan deposit tunai berjumlah RM60.7 juta (yang bersamaan 31% daripada jumlah asetnya) yang dimasukkan ke dalam akaun sekuriti dengan sebuah syarikat broker saham di Hong Kong. Penempatan ini dibuat untuk tujuan pelaburan tetapi mengapakah Syarikat membelanjakan sejumlah besar aset untuk perniagaan bukan teras ini?

09.09.21 (Khamis)

2.30 petang

Hong Seng Consolidated Berhad (EGM)

EGM ini bertujuan mendapatkan persetujuan pemegang saham untuk cadangan terbitan bonus sehingga 894,454,358 waran percuma berdasarkan 1 waran untuk setiap 3 saham biasa sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan dan diumumkan kelak.

 

Salah satu perkara penting untuk diketengahkan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diketengahkan

Lii Hen Industries Bhd (AGM) (Ditangguhkan dari 16 Jun 2021)

Syarikat menggajikan 3,333 pekerja pada TK2020 dan sangat bergantung kepada tenaga kerja asing (Halaman 47 daripada Laporan Tahunan 2021)

  1. Berapakah nisbah pekerja asing kepada pekerja tempatan pada TK2020? Disebabkan Kerajaan Malaysia telah mengetatkan peraturan pengambilan pekerja asing, maka apakah tindakan yang diambil oleh Syarikat untuk mengurangkan kesannya?
  2. Adakah Syarikat merancang untuk mengautomasikan sesetengah proses pembuatannya bagi mengurangkan pergantungan terhadap tenaga kerja berikutan terdapat kekurangan tenaga kerja untuk sektor pembuatan di negara ini?

Hartalega Holdings Bhd 
(AGM)

Syarikat amat bergantung kepada pekerja asing. Baru-baru ini Kerajaan Malaysia telah mengetatkan peraturan pengambilan pekerja asing.

  1. Berapakah nisbah pekerja asing kepada pekerja tempatan di Syarikat sekarang?
  2. Apakah langkah yang diambil oleh Syarikat untuk menangani dasar Kerajaan yang lebih ketat dalam pengambilan pekerja asing ini?

EUPE Corporation Bhd
(AGM)

Keuntungan Kumpulan yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham mengalami trend peningkatan iaitu TK2018 (RM9.6 juta), TK2019 (RM30.3 juta), TK2020 (RM33.9 juta) dan TK2021 (RM42.2 juta). (Halaman 6 daripada Laporan Tahunan)

Kumpulan membayar dividen interim 1.5 sen untuk TK2020. Namun, Lembaga tidak mengisytiharkan dividen untuk TK2021 walaupun Kumpulan mencatatkan keuntungan lebih tinggi yang boleh diagihkan kepada pemegang saham pada TK2021 berbanding TK2020. Tambahan pula, nisbah penggearannya bertambah baik menjadi 0.01 kali pada TK2021 berbanding 0.33 kali pada TK2020.

  1. Apakah alasan Lembaga tidak mengisytiharkan dividen walaupun Kumpulan mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi pada TK2021?
  2. Bilakah Lembaga akan mengisytiharkan dividen kepada pemegang saham?
  3. Adakah Lembaga Pengarah akan merangka dasar dividen? Sekiranya ya, apakah dasar itu?

Master-Pack Group Bhd (AGM) (Ditangguhkan dari 27 Mei 2021)

Master-Pack menyatakan tahap penggunaan tenaga dan air untuk TK2020 dan TK2019 di bawah Pernyataan Kelestarian (halaman 16 Laporan Tahunan 2020).

  1. Walau bagaimanapun, statistik penting lain seperti pelepasan gas rumah hijau, sisa kilang, enap cemar gam dan enap cemar dakwat tidak dinyatakan. Adakah Kumpulan merekodkan statistik untuk item ini?
  2. Apakah sasaran penggunaan /efluen / bahan buangan yang ingin dicapai oleh Master-Pack? Apakah rancangan Kumpulan untuk mencapai sasaran ini?

Sentoria Group Bhd 
(AGM)

Kedudukan kewangan Kumpulan semakin merudum pada TK2021 berikutan kerugian bersihnya yang lebih tinggi berjumlah RM171 juta berbanding kerugian bersih RM89 juta pada TK2020.

Kumpulan telah mengemukakan permohonan kepada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (“CDRC”) di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia sebagai perantara dengan pemberi pinjaman untuk menyusun semula atau merundingkan semula kemudahan kewangan yang dimiliki oleh Kumpulan dan beberapa syarikat subsidiari bagi mengatasi kesukaran kewangan yang dihadapinya. Jumlah keseluruhan kemudahan kewangan ini adalah kira-kira RM461 juta pada 31 Mac 2021. (Halaman 54 dalam Laporan Tahunan)

  1. Mengapakah Kumpulan mempunyai jumlah pinjaman yang tinggi sebanyak RM461 juta?
  2. Apakah kebarangkalian CDRC berjaya berunding dengan pemberi pinjaman untuk menyusun semula pinjaman?
  3. Bilakah Kumpulan menjangkakan CDRC akan memberikan maklum balas tentang penyusunan semula pinjaman Kumpulan?
  4. Apakah rancangan luar jangka Syarikat jika CDRC tidak mendapat persetujuan daripada pemberi pinjaman untuk menyusun semula pinjaman Kumpulan?
  5. Apakah cadangan yang diberikan oleh firma perunding yang diguna khidmat oleh Syarikat untuk membantu dalam penstrukturan hutang dan liabiliti Kumpulan?
  6. Sila berikan nama firma perunding tersebut dan yuran yang perlu dibayar kepada mereka.

JOE Holding Bhd

(AGM)

Pada 15 Julai 2021, JOE Holding melabur dalam Pasukhas Group Berhad (“Pasukhas”) dengan pertimbangan pembelian kira-kira RM25 juta melalui terbitan hak dengan pemegangan saham 21.58% kepentingan ekuiti dalam Pasukhas (Nota 37 (d), halaman 113 dari Laporan Tahunan 2021).

  1. Apakah kadar rintangan yang diterima pakai dan diluluskan oleh Lembaga dalam menilai pelaburan dalam Pasukhas?
  2. Berapakah peratusan minimum pulangan pelaburan yang dijangka untuk pelaburan dalam Pasukhas?
  3. Memandangkan Pasukhas adalah sebuah syarikat yang mengalami kerugian selama 3 tahun berturut-turut sehingga 31 Disember 2020, bagaimanakah Lembaga memastikan pelaburan ini dibuat untuk kepentingan Syarikat dan kepentingan pemegang saham turut dilindungi?

 


PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, ([email protected])

Linnert Hoo, Ketua, Penyelidikan & Pembangunan, ([email protected])

Norhisam Sidek, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Lee Chee Meng, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Elaine Choo Yi Ling, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Lim Cian Yai, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Ranjit Singh, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Rita Foo, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

Nor Khalidah Mohd Khalil, Pengurus, Pemantauan Korporat, ([email protected])

 


PENDEDAHAN KEPENTINGAN

Berkenaan syarikat-syarikat yang disebutkan di sini; MSWG memiliki jumlah saham minimum dalam semua syarikat yang diliputi dalam surat berita ini.


PENAFIAN

Surat berita ini dan kandungannya serta semua hak yang berkaitan dengannya termasuk kesemua hak cipta adalah dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad.

Kandungan dan pendapat yang dinyatakan dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang terdapat dalam domain awam dan bertujuan menyediakan pengguna dengan maklumat umum, untuk tujuan rujukan sahaja. MSWG telah berusaha sehabis baik demi memastikan maklumat yang terdapat dalam surat berita ini tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walau bagaimanapun, MSWG tidak memberikan jaminan tersurat atau tersirat mengenai ketepatan atau kesempurnaan setiap maklumat dan pendapat yang terdapat dalam surat berita ini. Segala maklumat dalam surat berita ini tidak dimaksudkan atau dianggap sebagai cadangan untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan mana-mana saham, pelaburan berkaitan atau instrumen kewangan lain yang berkaitan dengannya.

Pihak MSWG perlu dimaklumkan sebelum mana-mana bahagian dalam surat berita ini diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung liabiliti terhadap pergantungan kepada mana-mana maklumat atau komen yang terdapat di sini atau yang dihasilkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur disarankan supaya mendapatkan nasihat undang-undang atau profesional lain sebelum mengambil apa-apa tindakan berdasarkan surat berita ini..

 

 

Language: