MSWG Weekly Newsletter 12 October 2018 (BM)

Friday, 12 October, 2018

12.10.2018 

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Meningkatkan Jumlah Apungan Bebas Melalui Penjualan Pelaburan Oleh Kerajaan

Kerajaan telah menyatakan hasrat untuk mengurangkan kepentingan mereka dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang oleh Institusi Berkaitan Kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan Permodalan Nasional Bhd (sekarang dipegang melalui Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Khazanah). Manfaat daripada pengurangan pegangan kerajaan ini adalah peningkatan jumlah saham yang terapung dalam pasaran. Lebih banyak saham yang terapung dalam pasaran membolehkan pelabur membeli saham GLC tanpa menyebabkan kenaikan harga saham. Pelabur institusi asing juga sukakan situasi ini kerana mereka membeli secara besar-besaran dan jika jumlah saham yang terapung tidak mencukupi, pembelian pukal sering meningkatkan harga saham disebabkan bekalan yang terhad. Selain itu, mereka mungkin lebih sukar untuk membeli dalam kuantiti yang banyak dan tebaran harga saham mungkin akan menjadi lebih luas.

Institusi Berkaitan Kerajaan boleh mempengaruhi pasaran dan indeks pasaran saham berikutan saiz pemegangan saham mereka dan ini bukan lagi rahsia. Ada yang berpendapat PE (nisbah harga perolehan) yang lebih tinggi yang dinikmati oleh syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham Malaysia, berbanding rakan serantau adalah disebabkan oleh peningkatan dalam penglibatan Institusi Berkaitan Kerajaan.

Kita tidak boleh menyalahkan Institusi Berkaitan Kerajaan kerana mereka membeli saham dalam GLC dan memegangnya untuk jangka panjang kerana itulah hakikat pelaburan jangka panjang.

Institusi Berkaitan Kerajaan juga sering menjadi pelabur terbesar dalam IPO yang bagus, seterusnya mengurangkan apungan saham IPO yang bagus ini apabila disenaraikan. Institusi Berkaitan Kerajaan juga perlu membayar pulangan kepada pemegang kepentingan masing-masing. Penjualan pelaburan seumpama ini oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan akan menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan untuk melihat peluang pelaburan antarabangsa. Namun, tiada apa dapat menghalang pelabur institusi asing daripada membeli saham yang dijual oleh Institusi Berkaitan Kerajaan dan memegangnya untuk jangka panjang, seterusnya kembali kepada senario asal iaitu jumlah saham terapung yang rendah.

Cabaran kepada bursa saham adalah saiznya; adakah ia cukup besar? Oleh itu, walaupun banyak saham sudah dipegang oleh syarikat-syarikat ini, masih terdapat apungan saham yang mencukupi. Sebab itulah perlu ada barisan IPO yang mantap untuk meningkatkan keluasan dan kedalaman pasaran saham.

Ada pihak membuat spekulasi sebahagian daripada saham Petronas akan disenaraikan dan ia benar-benar mengujakan. Ia cukup besar dan cukup bagus untuk disenaraikan. Saya boleh bayangkan para pelabur tempatan dan antarabangsa berbaris untuk memiliki sebahagian daripada Petronas.

Pada 11 Oktober 2018, Petronas Gas Berhad ditutup pada RM17.24, Petronas Dagangan Bhd ditutup pada RM26.00 dan Petronas Chemicals Group Berhad pada RM9.22, semuanya pada harga yang menarik. Saya cuma memberikan konteks dan perspektif tentang betapa menariknya gambaran yang diberikan jika Petronas melakukan IPO. Saya berharap apabila ada IPO yang menarik pada masa hadapan, ada sebahagian yang cukup diketepikan untuk pemegang saham minoriti. Biasanya, hampir semua diambil alih oleh pelabur pukal dan pelabur institusi lain.

Bercakap tentang IPO pada masa depan, pemegang saham minoriti perlu sedar akan kepentingan melakukan ketekunan wajar apabila mempertimbangkan sesuatu IPO. Tiada jaminan anda akan beroleh keuntungan. Inilah salah satu kesan daripada rejim berasaskan penzahiran. Pengawalselia mengubah pendekatan daripada paternalistik kepada membuat keputusan berdasarkan maklumat. Sesetengah daripada anda mungkin terkenang masa lalu yang mana IPO pasti menjanjikan keuntungan, cuma kita tidak tahu berapa jumlahnya.

Peringatan buat pemegang saham minoriti dalam perkara ini – ‘Biarkan pembeli berwaspada’ dan ‘Biarkan pembeli yang melakukan ketekunan wajar’.

 

Salam,

Devanesan

12 Oktober 2018


PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

 

PELETAKAN JAWATAN JURUAUDIT LUAR

DIVERSIFIED GATEWAY SOLUTIONS BERHAD (“DGSB”)

Lembaga Pengarah DGSB mengumumkan Tetuan BDO (“BDO”) telah mengemukakan peletakan jawatan mereka sebagai juruaudit dan tempoh khidmat BDO sebagai juruaudit Syarikat akan berakhir pada 24 Oktober 2018. Lembaga Pengarah tidak mengetahui apa-apa perkara berkaitan peletakan jawatan BDO yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham DGSB.

Lembaga Pengarah DGSB kemudian mengumumkan bahawa Tetuan Grant Thornton Malaysia (“GT”) telah memberikan persetujuan bertulis dan oleh itu, Lembaga melantik GT sebagai juruaudit Syarikat untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Pelantikan GT sebagai juruaudit berkuatkuasa dari 24 Oktober 2018 sehingga tamat Mesyuarat Agung Tahunan Syarikat yang akan datang.

DGSB juga mengumumkan pada 8 Oktober 2018 bahawa Syarikat telah mengubah tahun kewangannya daripada 31 Mac kepada 30 Jun. Berikutan pertukaran tahun kewangan ini, penyata kewangan akan datang disediakan meliputi tempoh 15 bulan iaitu dari 1 April 2018 sehingga 30 Jun 2019. Selepas itu, tahun kewangan Syarikat akan berakhir pada 30 Jun untuk setiap tahun berikutnya.

[Sumber: Pengumuman DGSB di laman web Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2018]

 

VISDYNAMICS HOLDINGS BERHAD ("VHB")

Lembaga Pengarah VHB (“Lembaga Pengarah”) mengumumkan Syarikat pada 8 Oktober 2018 telah menerima notis bertulis yang diberikan mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016 daripada Tetuan Adam & Co. (“Adam & Co.”) menyatakan peletakan jawatan mereka sebagai Juruaudit Syarikat mulai 4 Oktober 2018.

Adam & Co., yang dilantik semula sebagai Juruaudit Syarikat pada mesyuarat agung tahunan (“AGM”) terakhir Syarikat yang diadakan pada 23 Mac 2018, sepatutnya memegang jawatan itu sehingga tamat AGM Syarikat yang seterusnya. Peletakan jawatan ini dibuat secara sukarela kerana Syarikat tidak dapat mencapai persetujuan dengan Adam & Co mengenai cadangan peningkatan yuran audit bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2018.

[Sumber: Pengumuman VHB di laman web Bursa Malaysia pada 8 Oktober 2018]

 

KOMEN MSWG:

Peletakan jawatan BDO dalam kes DGSB agak mengejutkan dan membingungkan. Ini adalah kerana kira-kira sebulan yang lalu iaitu pada 5 September 2018, BDO baru sahaja dilantik semula sebagai juruaudit DGSB oleh pemegang saham syarikat. BDO tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu. Walaupun DGSB sudah menemui juruaudit luar pengganti, namun untuk tujuan tadbir urus yang baik, sebab peletakan jawatan BDO perlu dimaklumkan kepada pemegang saham DGSB. Ini adalah kerana juruaudit luar dilantik oleh pemegang saham dalam AGM dan mereka ibarat pengawas yang melindungi kepentingan pemegang saham dalam hal-hal berkaitan integriti penyata kewangan.

Lebih baik jika syarikat dapat  mengumumkan sebab-sebab peletakan jawatan juruaudit luar kerana syarikat berupaya membuat pengumuman di laman web Bursa Malaysia.

Dalam kes VHB, VHB sudah mengumumkan sebab peletakan jawatan iaitu kenaikan yuran audit oleh juruaudit luar. Walaupun sebabnya sudah dimaklumkan, masa dan logik berkaitan dengannya agak membingungkan serta menimbulkan persoalan lanjut.

Pelantikan semula juruaudit luar telah dibentangkan untuk kelulusan pemegang saham dalam AGM VHB pada 23 Mac 2018 dan ia telah pun diluluskan. Persoalannya ialah sama ada yuran audit telah dipersetujui sebelum persetujuan diberikan untuk bertindak sebagai Juruaudit Syarikat. Mengapakah juruaudit luar mencadangkan kenaikan yuran mereka hanya kira-kira 6 bulan selepas mereka dilantik semula? Adakah ia disebabkan oleh peningkatan ketara dalam beban kerja atau risiko audit atau ada sebab-sebab lain?

Lebih baik jika syarikat dapat mengumumkan kenaikan yuran juruaudit luar yang dicadangkan yang menyebabkan mereka meletakkan jawatan, demi ketelusan dan amalan tadbir urus yang baik.

 

COUNTRY HEIGHTS HOLDINGS BERHAD (“CHHB”)

Lembaga Pengarah mengumumkan mereka akan mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati sebelum mengeluarkan Matawang Kripto Bersandarkan Aset sendiri. Memandangkan bidang ini sangat baharu dalam negara ini, dan CHHB merupakan syarikat tersenarai awam pertama yang mencetuskan inisiatif sedemikian, maklumat ini mungkin sangat sensitif kepada mereka yang tidak memahami teknologi blok rantai dan keliru dengan terlalu banyak matawang kripto.

Syarikat akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dijadualkan pada hari Khamis, 8 November 2018 untuk menyediakan ruang bagi membincangkan dengan pemegang saham tentang Cadangan Tawaran Syiling Permulaan (“ICO”) dan untuk mendapatkan sokongan dan persetujuan mereka untuk melantik rakan kongsi teknologi dan perunding luar yang bereputasi baik bagi memberi sokongan kepada cadangan ini terutama dalam pelaksanaannya.

Sebaik sahaja Lembaga memutuskan untuk meneruskan ICO, Syarikat akan mendapatkan kelulusan pemegang saham dan mengadakan satu lagi Mesyuarat Agung untuk pengesahan akhir sebelum melancarkan ICO, struktur, mekanisme dan pusat pertukaran yang akan digunakan.

[Sumber: Pengumuman CHHB di laman web Bursa Malaysia pada 3 Oktober 2018].

 

KOMEN MSWG:

Tiada peraturan atau undang-undang mengenai pengisuan mata wang kripto oleh syarikat tersenarai di Malaysia.

Lembaga Pengarah perlu mengadakan perbincangan dengan pemegang saham untuk menerangkan cadangan penerbitan ICO ini sebelum mendapatkan kelulusan mereka dalam mesyuarat agung yang akan datang untuk pengesahan akhir oleh pemegang saham. Sesi ini juga boleh dijadikan sebagai acara pendidikan yang bermanfaat yang dapat memberikan maklumat kepada pemegang saham sebelum membuat keputusan apabila CHHB mengadakan satu lagi mesyuarat agung untuk mendapatkan kelulusan mereka.

CHHB juga pasti akan memohon kelulusan daripada pengawal selia sebelum mesyuarat itu diadakan.

Wakil dari MSWG akan menghadiri mesyuarat agung yang akan datang untuk lebih memahami tentang mata wang kripto, ICO dan cadangan serta rancangan CHHB.

Kami menggesa semua pemegang saham, terutama pemegang saham minoriti, supaya menghadiri mesyuarat yang akan datang bagi lebih memahami tentang ICO yang dicadangkan oleh CHHB.

 


TINJAUAN MINGGUAN AGM/ EGM MSWG BAGI TEMPOH 15 HINGGA 19 OKTOBER 2018

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan MSWG pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

15.10.18 (Isnin)
09.00 pagi

DRB-Hicom Bhd
(EGM)

Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, Shah Alam

15.10.18 (Isnin)
11.30 pagi

DRB-Hicom Bhd
(EGM)

Holiday Inn Kuala Lumpur, Glenmarie, Shah Alam

17.10.18 (Rabu)
10.00 pagi

Berjaya Land Bhd
(AGM)

Bukit Jalil Golf & Country Resort, Jalan Jalil Perkasa 3, Bukit Jalil, KL

 

Beberapa perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu untuk Diajukan

DRB-Hicom Bhd

(EGM)

Di bawah syarat Perjanjian Konsesi seperti yang disebutkan dalam komen MIDF Investment di halaman 35 Pekeliling, kadar tarif dijangka disemak semula dua kali di sepanjang Tempoh Konsesi.

Apakah status terkini semakan semula tarif ini?

Berjaya Land Bhd

(AGM)

Merujuk Nota 13 di halaman 145, kami mendapati sebahagian besar penghutang perdagangan telah lama lewat tempoh namun tidak dikenakan peruntukan rosot nilai. Amaun yang lewat tempoh dari 91 sehingga 365 hari dan yang melebihi 365 hari masing-masing berjumlah RM79.7 juta dan RM50.6 juta.

  1. Mengapakah jumlah yang lama tertunggak ini tidak dikenakan peruntukan rosotnilai?
  2. Adakah amaun ini disokong oleh apa-apa cagaran atau jaminan? Apakah tindakan yang sudah diambil untuk mendapatkan semula amaun itu?

PASUKAN MSWG

Devanesan Evanson, Ketua Pegawai Eksekutif, devanesan@mswg.org.my

Lya Rahman, Pengurus Besar, lyarahman@mswg.org.my
Rebecca Yap, Ketua, Khidmat Korporat, rebecca.yap@mswg.org.my
Quah Ban Aik, Ketua, Khidmat Korporat, banaik.quah@mswg.org.my
Norhisam Sidek, Pengurus, Khidmat Korporat, norhisam@mswg.org.my
Hoo Ley Beng, Pengurus, Khidmat Korporat, linnert.hoo@mswg.org.my

Elaine Choo, Pengurus, Khidmat Korporat, elaine.choo@mswg.org.my
Lee Chee Meng, Pengurus, Khidmat Korporat, cheemeng@mswg.org.my 

Abdul Halim Alias, Pengurus, Khidmat Korporat, halim.alias@mswg.org.my


 

PENZAHIRAN KEPENTINGAN

•           Sehubungan dengan syarikat-syarikat yang dinyatakan, MSWG memegang jumlah saham yang minima di dalam syarikat-syarikat yang dinyatakan di dalam surat berita ini, kecuali bagi Diversified Gateway Solutions Berhad, Visdynamics Holdings Berhad, Inta Bina Group Berhad dan Weida (M) Berhad.


Maklumbalas

Kami mengalu-alukan maklumbalas anda mengenai surat berita dan khidmat kami. Sila e-mel komen dan cadangan anda ke corporateservices@mswg.org.my.


PENOLAKAN TUNTUTAN

Surat berita ini dan isi kandungannya berserta semua hak-hak berkaitan dengannya termasuk hak cipta dimiliki oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad, juga dikenali sebagai Minority Shareholders Watch Group (MSWG).

Isi kandungan dan pendapat yang dinyatakan di dalam surat berita ini adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada domain awam dan bertujuan untuk memberikan maklumat umum kepada pengguna dan adalah untuk rujukan sahaja. Usaha terbaik telah dilakukan untuk memastikan maklumat yang terkandung di dalam surat berita ini adalah tepat dan terkini pada tarikh penerbitan. Walaubagaimanapun, MSWG tidak membuat sebarang waranti nyata atau tersirat atas ketepatan atau kelengkapan maklumat dan pendapat yang terkandung di dalam surat berita ini. Tiada maklumat di dalam surat berita ini yang bertujuan atau patut dianggap sebagai syor untuk membeli atau menjual atau jemputan untuk melanggan sekuriti tertentu, pelaburan yang berkaitan atau mana-mana instrumen kewangan.

MSWG perlu diberikan perakuan bagi mana-mana bahagian surat berita ini yang diterbitkan semula.

MSWG tidak akan bertanggungjawab atau menanggung sebarang liabiliti atas kebergantungan kepada sebarang maklumat atau komen yang terkandung di dalam surat berita ini atau jika ianya diterbitkan semula oleh pihak ketiga. Semua pembaca atau pelabur dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat perundangan atau nasihat profesional yang lain sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan surat berita ini.

Language: