MSWG Weekly Newsletter 05 April 2019 (English)

Friday, 5 April, 2019

05.04.2019

MESEJ KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Risiko Tinggi Syarikat Tersenarai yang Beribu Pejabat di China

Senario semasa

Ada 13 syarikat yang beribu pejabat di China yang disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) dan situasi mereka amat membimbangkan. 4 daripada 13 syarikat ini diklasifikasikan sebagai syarikat PN 17; petanda syarikat bermasalah.

4 syarikat digantung - 2 daripadanya syarikat PN 17.

4 syarikat yang digantung ini tidak mempunyai harga saham terakhir.

Harga saham terakhir syarikat-syarikat ini, pada 2 April 2019, berada pada tahap 0.01 sen hingga 29 sen; sebahagian besar berada di bawah 10 sen. Jika semua perkara tidak berubah, harga terakhir ini menggambarkan situasi syarikat yang sedang tenat.

Berikut adalah gambaran ringkas 13 syarikat yang beribu pejabat di China berserta harga terakhir saham mereka pada 2 April 2019:

 

China Automobile Parts Holdings Limited (digantung) (PN 17)

China Ouhua Winery Holdings Limited (4.5 sen)

China Stationery Limited (digantung)

Kanger International Berhad (4.5 sen)

K-Star Sports Limited (7.5 sen)

HB Global Limited (12.5 sen) (PN 17)

Maxwell International Holdings Berhad (digantung) (PN 17)

Multi Sports Holdings Ltd (1 sen) (PN 17)

Sinotop Holdings Berhad (29 sen)

Sino Hua-An International Berhad (26.5 sen)

XiDeLang Holdings Ltd (9.5 Sen)

Xingquan International Sports Holdings Limited (digantung)

XingHe Holdings Bhd (3 sen)

 

Sebab di Sebalik Situasi Ini

Sewaktu syarikat-syarikat ini disenaraikan, pengawal selia mempunyai niat yang baik iaitu untuk menambahkan keluasan kepada Bursa Securities dengan membenarkan penyenaraian syarikat-syarikat yang beribu pejabat di China. Sejak itu, berbekalkan pengalaman lalu, pengawal selia menjadi sangat berhati-hati. Malah, tiada lagi penyenaraian syarikat yang beribu pejabat di China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beberapa sebab di sebalik rentetan masalah ini:

● Sebahagian besar syarikat-syarikat ini diperbadankan di luar Malaysia (8 daripada 13 syarikat) dan tertakluk pada undang-undang yang berbeza.

● Pengarah syarikat mereka juga sebahagian besarnya warga asing. Maka, menjadi suatu cabaran untuk mencari mereka atau meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka.

● Kebanyakan perniagaan mereka beribu pejabat dan terletak di luar Malaysia. Oleh itu, kewujudan syarikat, skala dan ketepatan operasi mereka mungkin dipersoalkan.

Perkara di atas menimbulkan konflik undang-undang dan amalan perniagaan serta isu berkaitan bidang kuasa.

 

Tindakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (“SC”)

Pada 29 Mac 2019, SC memberikan teguran terhadap tiga syarikat yang beribu pejabat di China dan menyatakan bahawa tindakan mengekalkan empat pengarah boleh menjejaskan kepentingan awam.

Tiga syarikat itu ialah China Stationery Ltd (“CSL”), Xingquan International Sport Holdings Ltd (“Xingquan”) dan Maxwell International Holdings Bhd (“Maxwell”) – saham ketiga-tiga syarikat ini sudah digantung.

 

China Stationery Ltd (“CSL”)

CSL dan beberapa pengarahnya diberikan teguran kerana menyerahkan penyata kewangan yang palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia. Pemegang saham minoriti pasti terkesan jika mereka menggunakan maklumat yang tiada integriti dalam penyata kewangan palsu dan mengelirukan ini.

Selain itu, salah seorang pengarahnya diberikan teguran kerana menyebabkan dua anak syarikat milik penuh CSL menjadi penjamin kepada pinjaman peribadinya, dengan niat menyebabkan kerugian kepada anak-anak syarikat tersebut. Perkataan ‘niat’ membawa konotasi yang merujuk kepada elemen perancangan dan sengaja menyebabkan kemudaratan. Ini adalah kesalahan serius.

 

Xingquan International Sport Holdings Ltd (“Xingquan”)

SC memberikan teguran kepada Xingquan dan beberapa pengarahnya serta dua bekas pengarah di atas kesalahan:

● merekodkan kerugian palsu berjumlah RMB415.7 juta daripada penjualan inventori oleh anak syarikat milik penuh Xingquan;

● menyerahkan suatu perjanjian palsu antara anak syarikat tersebut dan pihak ketiga kepada Bursa Securities;

● menyerahkan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Securities;

● merekodkan baki tunai dan baki bank yang palsu atau mengelirukan dalam lapan akaun bank secara kolektif milik Xingquan.

Pemegang saham minoriti mungkin menggunakan maklumat yang diberikan dalam penyata kewangan ini sebelum membuat keputusan pelaburan, yang akhirnya menyebabkan kerugian.

Kesalahan keempat adalah suatu tindakan berani iaitu merekodkan baki tunai dan baki bank yang palsu atau mengelirukan.

Di samping itu, Bursa Securities memberikan teguran terhadap syarikat dan empat pengarahnya untuk sejumlah RM3.02 juta kerana melakukan pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama tentang hal-hal yang berkaitan pelaporan kewangan, tadbir urus korporat, keperluan penyenaraian asing, pendedahan dan tidak mematuhi arahan bursa. Ini adalah kesalahan serius.

 

Maxwell International Holdings Bhd (Maxwell)

SC juga memberikan teguran terhadap Maxwell dan para pengarahnya serta CFO kerana:

● merekodkan pembayaran berjumlah RMB45.60 juta oleh anak syarikat milik penuh Maxwell dalam penyata kewangan Maxwell sedangkan maklumat ini palsu atau mengelirukan; dan  

● menyerahkan penyata kewangan palsu atau mengelirukan kepada Bursa Malaysia. Ini adalah kesalahan serius.

 

Tidak Bekerjasama dengan SC

Segelintir pengarah daripada tiga syarikat yang disebutkan di atas diberikan teguran berikutan kegagalan mereka memberikan jawapan kepada SC apabila diberikan notis bertulis yang meminta maklumat, serta kegagalan untuk hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC. Ini juga kesalahan serius.

 

Sekatan yang Setimpal

Kesalahan yang disebutkan di atas serta pendirian sesetengah pengarah yang tidak mahu memberikan kerjasama sememangnya serius dan berani maka mereka perlu dikenakan sekatan yang lebih ketat.

Sekatan yang dikenakan oleh SC berperanan sebagai amaran bahawa tindakan akan diambil ke atas kesalahan yang melibatkan pasaran modal.

Sekatan yang dikenakan oleh SC merupakan satu peringatan tentang integriti pasaran modal, selain maklumat yang boleh diharapkan tepat pada masanya serta perlindungan pelabur perlu diberikan keutamaan.

 

Laporan Tahunan SC bagi 2018, Bahagian 2 – Membentuk Tingkah Laku Pasaran yang berkaitan penguatkuasaan ada menyatakan inti pati usaha tindakan pentadbiran, penguatkuasaan sivil dan pendakwaan jenayah yang diambil bagi mencapai tahap pencegahan yang boleh dipercayai selain memupuk budaya tadbir urus yang baik.

 

Kami berharap pengawal selia akan mempertimbangkan sekatan yang lebih keras pada masa akan datang supaya menghantar mesej yang jelas bahawa pasaran modal Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan syarikat yang melanggar undang-undang dan peraturannya.

 

Melabur dalam Syarikat yang beribu pejabat di China

Syarikat-syarikat China di Singapura juga berdepan pelbagai masalah seperti masalah kewangan, penipuan perakaunan dan lain-lain, seperti juga di Malaysia.

Para pemegang saham perlulah bijak dan berusaha membuat kajian apabila melabur dalam syarikat yang beribu pejabat di China, yang cenderung ‘menghadapi masalah’. Pemegang saham perlu mengamalkan sikap berhati-hati. Lagipun, mereka boleh memilih daripada lebih 900 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Pemantauan MSWG

Kami telah memasukkan syarikat-syarikat yang beribu pejabat di China di bawah senarai syarikat yang berada dalam pemantauan kami. Kami merasakan para pemegang saham dalam syarikat-syarikat ini berdepan risiko paling tinggi dan diharapkan pemantauan kami boleh menambah tahap kewaspadaan dan akauntabiliti di pihak lembaga pengarah.

 

PANDANGAN RINGKAS MSWG TENTANG PERKEMBANGAN KORPORAT SEMASA

Genting Malaysia Berhad (“GENM” atau “Syarikat”)

GENM mengesahkan pembelian Equanimity dengan harga USD126.0 juta (atau bersamaan kira-kira RM514.6 juta)

Pada 28 Mac 2019, GENM membuat tawaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal pesiar mewah Equanimity (bersama tangki minyak, bahan api, pelincir dan barang-barang guna habis sedia ada yang berada di atas kapal) untuk jumlah balasan USD126.0 juta (atau kira-kira RM514.6 juta), (“Tawaran”).

Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur telah meluluskan Tawaran oleh GENM. Pemerolehan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh GENM dan penyelesaian jualan dijangka berlaku menjelang akhir April 2019.

Cadangan Pemerolehan ini membolehkan GENM membezakan syarikatnya daripada para pesaing serta memberikan GENM suatu kelebihan yang unik dan daya saing untuk perniagaan pelanggan premiumnya.

 

Sumber:

http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6114661

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/04/05/genting-stocks-lost-more-than-rm4bilnegative-reaction-to-recent-corporate-news/

https://www.nst.com.my/business/2019/04/475973/genting-keeps-poker-face-equanimity-plan

 

KOMEN MSWG:

Ramai yang terkejut dengan berita pemerolehan Equanimity oleh GENM. Pengumuman ringkas yang dibuat tanpa butiran lanjut pasti akan menimbulkan pertanyaan dan perasaan ingin tahu. Namun perkara paling penting bagi para pemegang saham ialah bagaimanakah pengambilalihan itu akan mewujudkan nilai kepada pemegang saham?

Pengumuman itu menyatakan Cadangan Pemerolehan ini akan membolehkan GENM membezakan syarikatnya daripada pesaing serta menyediakan GENM dengan kelebihan yang unik dan berdaya saing untuk perniagaan pelanggan premiumnya. Kata kuncinya di sini ialah “kelebihan yang unik dan kompetitif untuk perniagaan pelanggan premiumnya”.

Adakah GENM akan menjadikan Equanimity sebagai sebuah kasino terapung yang unik? Atau adakah ia akan digunakan untuk membawa pelanggan bernilai tinggi ke kasino? Berapa kompetitifkah perniagaan ini?

Dalam Laporan Tahunan 2017 GENM, dinyatakan bahawa Kumpulan mengendalikan Resorts World Bimini di Bahamas, yang menampilkan kasino, hotel, restoran dan bar, kemudahan resort dan kompleks kapal pesiar serta marina terbesar di Pulau Bimini. Adakah Equanimity akan menjadi sebahagian daripada kompleks kapal pesiar dan marina di Pulau Bimini?

Kisah ini hanya akan terungkai apabila GENM mendedahkan rancangan mereka untuk menggunakan Equanimity pada masa hadapan.

 

STONE MASTER CORPORATION BERHAD (“STONE” atau “Syarikat”)

1)  Tingkah laku pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”)

Kami mendapat tahu baru-baru ini sebuah blog pelaburan memuat naik di laman web mereka sebuah video mengenai AGM STONE yang diadakan pada 29 Mac 2019.

Video itu menunjukkan seorang pemegang saham melepaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati yang disebabkan oleh kerugian yang dialami menerusi pelaburan sahamnya dalam STONE. (Suaranya tenggelam timbul disebabkan sistem suara yang tidak jelas). Dia berdiri di hadapan ahli Lembaga dan ketika bercakap, dia mengangkat beberapa buah kerusi dan melemparkannya ke lantai.

Laman web ini juga menunjukkan harga saham STONE pada pelbagai tarikh seperti berikut:

31 Mac 2014 - 0.67 (harga buka)

15 September 2014 - 1.29 (harga tertinggi)

25 Mac 2019 tahun - 0.035 (harga penutup)

 

Pengerusi mahu menangguhkan mesyuarat tetapi pemegang saham membantah dan menegaskan supaya mesyuarat itu diteruskan. Pengerusi kemudiannya menyatakan yang beliau akan meletakkan jawatan dan terus keluar daripada bilik mesyuarat.

 

2) Kemungkinan penyahsenaraian

Pada 3 April 2109, Lembaga Pengarah memaklumkan bahawa Syarikat pada 3 April 2019 telah mengemukakan Rayuan kepada Bursa Securities membantah permulaan prosedur penyahsenaraian terhadap sekuriti Syarikat dan berusaha supaya Bursa Securities mempertimbangkan semula penolakan ini serta meluluskan pelanjutan masa bagi Syarikat untuk mengemukakan Pelan Regularisasi yang komprehensif kepada Bursa Securities.

Memandangkan Rayuan ini dikemukakan dalam Tempoh Rayuan (iaitu sebelum 3 April 2019), penyingkiran saham STONE daripada Senarai Rasmi Bursa Securities pada 8 April 2019 akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan terhadap Rayuan Syarikat oleh Bursa Securities.

Sumber:

http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/6115169

KOMEN MSWG:

Adegan yang berlaku dalam AGM ini tidak sepatutnya terjadi dan ia benar-benar mengejutkan kami.

Walaupun penyertaan pemegang saham secara aktif dalam AGM seperti mengutarakan pertanyaan, isu dan memberikan komen adalah suatu perkembangan yang sihat dan menggalakkan, mereka perlu mematuhi tahap ketertiban tertentu. Perbuatan keji, keganasan dan penggunaan kata-kata kesat atau yang tidak sepatutnya diucapkan dalam AGM sudah pasti tidak boleh diterima.

Para pemegang saham perlu menggunakan AGM sebagai platform/ forum untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang bermakna dan relevan dengan Lembaga Pengarah dan pengurusan supaya tindakan dapat diambil terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan para pemegang saham.

Berhubung kemungkinan nyahsenarai, sekiranya Bursa Securities meluluskan rayuan tersebut dan menimbang semula penambahan masa, Syarikat perlu menunjukkan apa-apa perkembangan yang material ke arah pelaksanaan sehingga pihak Bursa Securities berpuas hati serta penyerahan pelan regularisasi kepada pihak berkuasa pengawal selia.


TINJAUAN MINGGUAN AGM MSWG UNTUK TEMPOH 8 HINGGA 12 APRIL 2019

Berikut adalah AGM/EGM syarikat-syarikat di bawah senarai pemantauan Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) pada minggu ini.

Ringkasan perkara penting disenaraikan di bawah, manakala butiran terperinci soalan yang diajukan kepada syarikat boleh didapati di laman web MSWG di www.mswg.org.my

Tarikh & Masa

Syarikat

Lokasi

10.04.19 (Rabu)
11.00 pagi

Carlsberg Brewery Malaysia Bhd
AGM

Pusat Konvensyen Sime Darby, 1A Jalan Bukit Kiara 1, KL

11.04.19 (Khamis)
10.00 pagi

Malayan Banking Bhd
AGM

Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kompleks MITEC, KL

 

Perkara penting untuk diajukan:

Syarikat

Perkara/ Isu Untuk Diajukan

Carlsberg Brewery Malaysia Bhd
AGM

Salah satu langkah Syarikat ke arah usaha Minum Minuman Keras Secara Bertanggungjawab adalah dengan menawarkan lebih banyak pilihan minuman tanpa alkohol menjelang 2020 (halaman 52 Laporan Tahunan 2018) berbanding satu-satunya pilihan sedia ada iaitu Nutrimalt. Apakah perkembangan usaha syarikat dalam menawarkan lebih banyak pilihan minuman tanpa alkohol?

Malayan Banking Bhd
AGM

  1. Di bawah pengurusan risiko kredit (e), kualiti kredit aset kewangan yang terjejas dalam Penyata Kewangan di halaman 218 dan 219 Laporan Tahunan 2018, kami mendapati jumlah Pinjaman, Pendahuluan dan Pembiayaan untuk sektor industri Pembinaan dan Bekalan Air, Gas dan Elektrik di peringkat Kumpulan dan Bank, telah meningkat dengan ketara dalam tahun kewangan berakhir 2018 berbanding tahun sebelumnya seperti berikut:

Pinjaman, Pendahuluan & Pembiayaan

 

Sektor

Industri

Kumpulan RM’000

Bank RM’000

2018

2017

2018

2017

Pembinaan

1,322,675

821,101

   919,725

682,670

Bekalan air, gas dan elektrik

1,843,096

447,444

1,803,293

253,586

Sila jelaskan sebab peningkatan dalam aset kewangan yang terjejas dan langkah yang diambil untuk mengurangkan pertambahan kejejasan nilai.

2.    “Penyata Kelestarian” - Pengurusan Risiko (di halaman 107 Laporan Tahunan 2018) menyatakan Risiko Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (“ESG”) diintegrasikan ke dalam penilaian pemberian pinjaman dan syarikat sedang dalam proses mengintegrasikan ESG ke dalam Kriteria Penerimaan Risiko merentas perniagaan.

a)   Apakah perkembangan proses integrasi ini dan apakah pencapaian setakat ini?

b)   Sila berikan contoh bagaimana faktor ESG dimasukkan ke dalam garis panduan pinjaman dan proses membuat keputusan apabila menjalankan perniagaan dengan pihak berkepentingan dan industri mereka?

Sila huraikan tentang Garis Panduan Pemberian Pinjaman yang Bertanggungjawab, pelaksanaannya dan hasil utama yang sudah dicapai setakat ini.

c)   Apakah perancangan syarikat di bawah Pelan Kelestarian 20/20 untuk 2019?

Language: